KPDNHEP Kudat Rampas Petrol & Kenderaan Bernilai RM104,883.74

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA MARUDU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kudat berjaya merampas 3,321 liter petrol dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM104,883.74, di sebuah stesen minyak, di sini hari ini.

Petrol berkenaan didapati cuba diseleweng kerana ia melibatkan pembelian tanpa permit kebenaran oleh KPDNHEP.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kudat, Geoffrey Gumalang berkata, kesemua petrol itu dimuatkan dalam tong drum muatan 200 liter setong yang ditempatkan dalam sebuah lori 3 tan dan juga dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, rampasan itu berjaya dilakukan susulan risikan dan siasatan yang dibuat berikutan aduan penyelewengan bahan api petroleum bersubsidi yang dilakukan oleh pembeli yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan dan salah laku pengusaha stesen minyak.

Katanya, hasil risikan selama dua hari di stesen minyak berkenaan mendapati berlaku aktiviti mencurigakan pada 5.30 pagi tadi yang melibatkan lori 3 tan dan kenderaan pacuan empat roda. Kedua-dua kenderaan itu memuatkan drum berwarna biru berkapasiti 200 liter yang mengandungi petrol Ron 95.

Berikutan itu, pegawai penguat Kuasa KPDNHEP Kudat kemudiannya membuat serbuan dan menyita minyak petrol dan kedua-dua kenderaan tersebut.

Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 70 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 dibaca Bersama Per 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi dua suspek. Manakala, pengusaha stesen minyak yang terlibat juga akan diambil tindakan di bawah Peraturan 21, akta yang sama kerana melanggar syarat lesen iaitu menjual minyak Petrol/Diesel kepada mana-mana orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

“Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda sebanyak RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali terhadap individu, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 3 juta,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP Kudat akan meneruskan pemantauan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang termasuk pengusaha stesen minyak jika terlibat dengan aktiviti penyelewengan berkaitan minyak petrol dan diesel.

Mengenai kes dan pemeriksaan yang dilakukan KPDNHEP Kudat sejak 1 Januari lalu, Geoffrey berkata, sebanyak 3,202 premis telah diperiksa dan sebanyak 56 kes telah disiasat.

Ia melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM186,391.49 dengan kompaun berjumlah RM 11, 400.