KPDNHEP AKAN MANFAATKAN SEPENUHNYA DANA RM20 JUTA PROMOSI PRODUK PKS

326

LABUAN :– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM20 juta yang disalurkan kepadanya untuk mempromosikan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di samping menjalankan kempen Beli Barangan Malaysia di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP, Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata pihaknya akan melaksanakan peranan proaktif dalam memperkukuh usaha untuk menjadi ‘penjaga PKS’ dan pemudah cara bagi usahawan PKS membangunkan produk mereka.

“Dana yang dibentangkan dalam belanjawan baru-baru ini dan diluluskan itu juga untuk kempen Beli Barangan Malaysia, memandangkan kami mahu melaksanakan promosi giat produk tempatan kepada rakyat Malaysia amnya,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Citarasa Malaysia tahunan kementerian itu di pasar raya 24 jam D’One Mart di sini, hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP telah menggandakan usaha untuk menepis persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kononnya produk tempatan berkualiti rendah.

Ismainur Hadi berkata Program Pembangunan Produk PKS kementerian itu menyasar membangunkan produk usahawan PKS untuk meningkatkan daya saing mereka terhadap produk antarabangsa serta melonjakkan perolehan jualan melalui pembungkusan menarik dan terkini.

Melalui program ini, kementerian akan mengenal pasti produk yang berpotensi untuk dipasarkan secara tetap oleh pasar raya besar tetapi buat masa ini tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh peruncit.

Mengenai Program Citarasa Malaysia, Ismainur berkata sejumlah 253 usahawan PKS telah menyertai program tersebut sejak Januari tahun ini di 13 lokasi seluruh negara.
“Program ini telah membantu para usahawan PKS mempromosikan produk mereka dan meningkatkan perolehan jualan lebih 20 peratus,” katanya.

Ismainur Hadi berkata program itu diperkenalkan pada 2003 dengan matlamat memperluas peluang bagi usahawan PKS memasarkan produk mereka ke pasar raya dan pasar raya besar selain meningkatkan kesedaran pengguna tentang kewujudan produk berkenaan.

“Ia juga bertujuan mewujudkan kerjasama antara usahawan dan pasar raya besar/pasar raya,” katanya.