KP JPA Ingatkan Penjawat Awam Tidak Langgar Sop Pemerolehan

LABUAN: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pemerolehan memandangkan ketidakpatuhan terhadap SOP itu adalah punca ketirisan dalam transaksi kerajaan.

Bernama melaporkan Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman sebagai berkata tidak ada kompromi dalam isu ini memandangkan perkara itu melibatkan wang rakyat.

“Mesej kami jelas. Tidak ada tolak ansur bagi mana-mana penjawat awam yang didapati tidak mematuhi SOP sedia ada. Walaupun agar sukar untuk dipatuhi, peraturan itu memberikan kita keyakinan bahawa wujud ketelusan dalam pemerolehan.

“Menjadi kewajiban untuk mematuhi sepenuhnya (SOP), justeru, jika ada kes ketidakpatuhan, pastinya akan ada ketirisan, kecuaian dan lain-lain.

“Kami bertindak berdasarkan laporan Ketua Audit Negara dan aduan awam berhubung amalan tidak sihat dalam kalangan penjawat awam,” kata Mohd Khairul kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam di jabatan dan agensi persekutuan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, di sini.

“Kami mahu Polis Diraja Malaysia dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menjalankan tugas mereka dengan tegas dan mana-mana penjawat awam yang didapati melakukan kesalahan (rasuah dalam urusan kerajaan) akan didakwa,” tegasnya.

Beliau berkata JPA telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelia pematuhan SOP termasuk Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001 (ABMC).

Mohd Khairul berkata Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) merupakan dokumen dasar di peringkat organisasi bagi menangani kelemahan dan isu berkaitan tadbir urus, integriti serta antirasuah.

“Setiap kementerian harus ada OACP ini yang dapat membantu menangani amalan rasuah di jabatan dan agensi masing-masing,” tambahnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata kes rasuah yang menyebabkan ketirisan dalam pemerolehan kerajaan melibatkan penjawat awam dilihat semakin kritikal.

Beliau juga dilaporkan berkata 50 peratus kes sedemikian melibatkan agensi kerajaan.
Susulan itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan SPRM berhubung dakwaan ketirisan dalam pemerolehan kerajaan yang melibatkan penjawat awam.

Mohd Zuki berkata isu itu harus diselesaikan segera berikutan ia boleh memperlahankan pemulihan ekonomi, terutama ketika negara masih lagi mendepani ancaman COVID-19.

“Saya akan berbincang dengan mereka tentang apa yang harus kita lakukan seterusnya atau langkah pencegahan yang boleh kita ambil.

“Dalam keadaan ekonomi kita menunjukkan proses pemulihan yang perlahan susulan penularan COVID-19 berserta ketirisan dalam pemerolehan kerajaan, saya khuatir negara kita tidak akan dapat berkembang secepat yang kita rancang,” kata Mohd Zuki.