Kota Belud Setapak Ke Hadapan Dalam ICT, MP Kota Belud

829

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Pelancaran aplikasi My Kota Belud dilihat langkah yang tepat untuk meletakkan daerah ini maju setapak ke hadapan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis berkata, beliau berharap komuniti setempat akan dapat menggunakan aplikasi yang dilancarkan itu sebaik mungkin supaya aktiviti ekonomi dan pembangunan di daerah itu dapat diteruskan.

Katanya, langkah mengwujudkan aplikasi yang boleh dimuat turun dari Playstore telefon pintar itu dilakukan seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat berkembang dari masa ke semasa.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim ini berkata, aplikasi My Kota Belud turut menyediakan ruang bagi MyShop, iaitu platform percuma yang akan membantu usahawan menjual produk dan perkhidmatan mereka.

Dengan adanya aplikasi itu, ia diharap dimanfaatkan supaya dapat membantu meningkatkan ekonomi usahawan dan peniaga di daerah ini.

“Saya yakin aplikasi ini amat bermanfaat untuk komuniti dan ingin menyeru agar ramai-ramai daripada kita memuat turun aplikasi ini.

“Dalam masa yang sama, saya dan kakitangan Pejabat Parlimen Kota Belud akan sentiasa memberi komitmen penuh dalam membantu segala pelaksanaan program ini dari masa ke semasa” katanya ketika Majlis Pelancaran Aplikasi My Kota Belud, di sini pada Ahad.

Munirah berkata, Emsdee Innovations yang dilantik dalam membangunkan aplikasi itu turut menyediakan platform untuk komuniti mengetahui kalender aktivitinya dalam ruangan MyYB.

“Saya berharap melalui kalender ini, komuniti dapat mengetahui aktiviti saya dan boleh turut bersama-sama saya memeriahkan segama aktiviti terbuka yang saya hadiri. Seperti program pada hari ini,” jelasnya.