Koronavirus: Pesara Kerajaan Didenda RM5,000 Sebar Berita Palsu

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: “Jangan makan buah limau mandarin yang berasal dari China kerana tercemar wabak virus Wuhan”.

Demikian sebahagian daripada mesej palsu ditularkan seorang pesara kerajaan pada 23 Januari lalu sehingga menimbulkan kegusaran orang awam tentang wabak koronavirus yang berasal dari China dan telah merebak ke banyak negara termasuk Malaysia.

Tindakan lelaki itu, Aliuudin Amit, 67, akhirnya membawa padah apabila tertuduh didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sandakan hari ini.

Majistret Suhailla Selag memerintahkan Aliuudin membayar denda tersebut atau 10 bulan penjara jika gagal selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatannya.

Berdasarkan pertuduhan, pada kira-kira pukul 9.34 malam, 24 Januari lalu, tertuduh didakwa menyebarkan berita palsu itu melalui aplikasi Whatsapp menggunakan telefon bimbit miliknya di Jalan Selinsing, Taman Sempelang, Kota Kinabalu.

Dalam mesej yang dihantar ke Whatsapp Persatuan Golf Tanjung Aru itu, tertuduh mendakwa seorang banduan telah muntah darah dan meninggal dunia dunia di Penjara Sandakan yang berpunca daripada koronavirus selepas bedah siasat dilakukan.

Menurut tertuduh, banduan berkenaan sebelum itu telah makan buah limau mandarin dari Wuhan, China, justeru memberi amaran kepada orang ramai agar tidak memakan buah berkenaan yang dipercayai tercemar dengan koronavirus.

Mesej tersebut turut menyatakan semua pegawai di penjara itu telah dikuarantin dan atas perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa merayu, tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman kerana telah insaf dan menyesali perbuatannya.

“Saya sudah insaf dengan perbuatan saya, saya tidak berniat mahu mengaibkan sesiapa dan saya mengakui kesalahan saya,” katanya.

Suhailla kemudiannya mengingatkan tertuduh bahawa perbuatannya itu boleh menimbulkan kerisauan orang awam, justeru hukuman perlu dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar tidak mengulangi perbuatan sama.

“Hukuman ini sebagai pengajaran kepada kamu dan masyarakat supaya sebelum menyebarkan apa-apa berita periksa dulu kesahihannya,” katanya.