Koronavirus: JaPen Edar 20,000 Risalah Di Seluruh Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Penerangan (Japen) Sabah sudah mengedarkan kira-kira 20,000 risalah di seluruh daerah di negeri ini melalui program ‘Info on Wheels’ bagi menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat berhubung 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Pengarah Japen Sabah Norzawiyah Bulka berkata maklumat tepat dan terkini berkaitan koronavirus berkenaan perlu disebarluaskan agar masyarakat tidak panik atau takut apabila menerima maklumat palsu berkaitan virus itu.

“Pada masa ini, banyak berita palsu disebarkan mengenai virus ini sehingga menimbulkan perasaan takut dalam kalangan orang ramai. Oleh itu, Jabatan Penerangan memberi penjelasan. Langkah pencegahan amat penting iaitu dengan menjaga kebersihan setiap masa,” katanya kepada pemberita selepas program itu, di sini hari ini.

Menurut Norzawiyah, risalah berkaitan koronavirus berkenaan diedarkan di kawasan tumpuan ramai termasuk di pasar malam, tamu (pasar minggu), premis perniagaan dan taman perumahan.

Selain mengedarkan risalah berkenaan koronavirus melalui program, turut diedarkan ialah risalah berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan seperti e-Tunai Rakyat yang dilancarkan kerajaan pada 15 Jan lepas.

“Kami juga menyampaikan maklumat tentang penggunaan teknologi generasi kelima (5G), walaupun belum lagi sampai di Sabah tetapi sekurang-kurangnya masyarakat tahu apa itu 5G,” katanya.