Korban Keselesaan Rai Pesta Kaamatan Secara Sederhana Ikut SOP – Shafie Apdal

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini disaran agar melakukan sedikit pengorbanan dengan tidak meraikan sambutan Pesta Kaamatan secara besar-besaran susulan pandemik wabak Covid-19 yang kini melanda dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, mengambil iktibar daripada kisah pengorbanan Huminodun, rakyat Sabah perlu mengorbankan keselesaan dan kebebasan, dengan tidak meraikan perayaan ini secara besar-besaran dan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, perayaan Kaamatan pada tahun ini agak mencabar berikutan pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara dan juga negeri Sabah.

“Maka, kita perlu mengambil tanggungjawab bersama, sama ada dari pihak kerajaan mahupun rakyat, untuk memerangi wabak Covid-19 ini kerana ia memerlukan kita untuk bersatu dan berpadu dalam mengelakkan wabak ini daripada terus merebak.

“Bagi pihak kerajaan Sabah, kita telah melaksanakan pelbagai langkah bagi membendung penularan Covid-19 di negeri ini.

“Pelaksanaan langkah-langkah ini bukanlah bertujuan untuk menyekat kebebasan rakyat untuk meraikan perayaan. Semua yang kita lakukan ini sudah tentu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak wabak ini daripada terus berjangkit,” katanya dalam Perutusan Sempena Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan 2020, di sini hari ini.

Beliau juga menyeru rakyat di negeri ini untuk terus mengukuhkan dan meningkatkan lagi perpaduan, keharmonian dan kemakmuran di negeri ini.

Katanya, dengan perpaduan yang mantap, tentunya segala langkah, usaha dan perancangan untuk membangun dan memajukan negeri ini akan terus berjalan dengan lancar dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, Sabah adalah negeri yang unik di mana rakyat kekal bertahan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisional yang telah diturunkan dan diwariskan sejak zaman berzaman.

“Kita hidup dalam keadaan harmoni, bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan etnik yang ada di negeri ini. Tentunya, perpaduan yang kita nikmati di Sabah adalah contoh terbaik persefahaman dan kesatuan yang terdapat di Malaysia.

“Saya yakin, bahawa kita semua berbangga untuk berkongsi warisan budaya yang kita ada bukan sahaja dengan rakyat Malaysia, bahkan juga kepada dunia,” ujarnya.

Beliau berkata, menelusuri sejarah Kaamatan, pesta ini berkisar tentang lagenda Huminodun yang telah mengorbankan diri bagi menyelamatkan kaum Kadazan Dusun Murut (KDM), pada suatu ketika dahulu, yang ditimpa bencana kebuluran kerana tidak mempunyai sumber makanan.

Kini, Pesta Kaamatan diraikan sebagai tanda kesyukuran bagi masyarakat KDM terhadap hasil tuaian padi yang banyak. Walaupun penanaman padi tidak lagi menjadi amalan pertanian utama masyarakat ini, ia masih merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat tempatan yang merayakannya sebagai tanda terima kasih.

Bersempena dengan perayaan Pesta Kaamatan pada tahun ini, beliau mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan, khususnya kepada masyarakat KDM yang meraikan perayaan tradisi warisan turun temurun ini.

‘Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan’.