Koperasi Belia, Wanita Lumadan Mampu Tingkatkan Taraf Ekonomi Penduduk Setempat

BEAUFORT: Penubuhan koperasi belia dan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada akhir Disember tahun lepas, dilihat sebagai titik permulaan bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat khususnya dalam kalangan kaum belia di kawasan berkenaan.

Berkongsi mengenai penubuhan itu, Ahli DUN Lumadan Ruslan Muharam berharap koperasi berkenaan akan menjadi ruang dan peluang kepada belia untuk menceburi bidang perniagaan terutamanya kepada mereka yang telah tamat belajar dan mahu mencari pekerjaan.

“Saya mahu membimbing mereka agar menjadi usahawan yang berjaya kerana perniagaan ini bidangnya luas dan saya yakin dengan bermulanya penubuhan koperasi itu, ia akan membuka jalan kepada penduduk di kawasan ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Jelasnya, dengan berbekalkan pengalamannya sebagai Pengerusi Koperasi Jaya Murni Beaufort lebih 10 tahun lepas akan dijadikan sebagai panduan untuk melahirkan lebih ramai usahawan tempatan. 

Katanya, pelbagai bentuk perniagaan boleh diusahakan oleh golongan muda antaranya kedai membaiki telefon bimbit, peralatan kereta dan bakeri yang sentiasa mendapat permintaan daripada pengguna.

Dengan mengambil contoh pada 2019, melalui koperasi Jaya Murni Beaufort, Kedai Coopmart telah berjaya dibuka yang menawarkan harga berpatutan sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada belia di Beaufort.

Selain itu, sebuah pasar raya bernilai RM6.5 juta juga akan dibuka pada tahun ini yang mampu menyediakan peluang pekerjaan hingga 40 orang di bawah koperasi berkenaan.

“Buat masa ini saya akan lebih fokus kepada sosioekonomi setempat kerana dalam situasi sekarang sektor pelancongan di kawasan ini memang agak sukar untuk kita kembangkan, jika keadaan sudah pulih barulah kita akan tumpu kepada sektor pelancongan,” katanya.