Koperal Polis Berdepan Tiga Pertuduhan Rasuah

Margani Arpah

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berdepan tiga pertuduhan rasuah, di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Anggota yang berpangkat koperal dan dikenali sebagai Margani Arpah, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan menerima rasuah itu dihadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Untuk pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang suapan berjumlah RM2,000 daripada Anisah Hassan,33, yang meminta agar tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap anak buah dan rakannya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan yang sama iaitu menerima wang suapan berjumlah RM900 dan RM300 daripada mangsa yang sama juga bagi mengelakkan anak buah dan rakannya dikenakan tindakan.

Anggota polis itu didakwa mengikut melakukan kesalahan tersebut di Pondok Polis Warisan Square antara 5 petang hingga 6.26 petang pada 4 Ogos, 2018.

Atas ketiga-tiga pertuduhan itu, anggota polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Clementin Severinus menawarkan ikat jamin RM10, 000 dengan seorang penjamin tempatan dan meminta tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. Tertuduh juga diminta melapor diri di pejabat SPRM sekali pada setiap dua bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah mengurangkan bayaran ikat jamin kerana beliau masih menanggung isteri dan tujuh anak yang berusia antara 12 hingga 27 tahun.

Hakim menetapkan 25 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes dan membenarkan anggota polis itu diikat jamin dengan bayaran RM10,000 dengan deposit RM4,000 serta seorang penjamin tempatan/

Abu Bakar mengingatkan tertuduh supaya tidak menganggu saksi pendakwaan dan meminta tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM setiap kali dalam tempoh dua bulan, sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.