Kopeks Tawar Pinjaman Sehingga RM30,000 Kepada Penjawat Awam

Kastian (kiri) menyempurnakan gimik penyerahan dividen kepada seorang penerima, turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Kopeks Buvil Angkui (kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) menawarkan bantuan pinjaman kewangan sehingga RM30,000 kepada penjawat awam menerusi Pakej Pembiayaan Prihatin.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Kastian Dula berkata, pinjaman berkenaan ditawarkan bagi membantu penjawat awam yang berdepan dengan masalah kewangan ketika berlakunya penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, Kopeks turut mengumumkan pengagihan dividen tunai bagi tahun kewangan 2018 kepada 8,447 orang anggotanya bermula hari ini.

“Agihan dividen ini meliputi pembayaran keseluruhan sejumlah RM 682,639 atau 10 peratus simpanan yuran dan saham dalam koperasi.

“Pengagihan dividen ini selaras dengan objektif koperasi iaitu bagi membantu kebajikan dan ekonomi anggotanya,” katanya semasa Majlis Pengagihan Dividen 2018 dan pelancaran Pakej Pembiayaan Prihatin Penjawat Awam, di sini hari ini.

Kastian berkata, pengagihan dividen itu turut dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, Kopeks kini memberi fokus kepada melakukan penjimatan dan meningkatkan keuntungan bagi memberi manfaat kepada anggotanya.

“Sebelum ini, permohonan anggota bersara yang tertangguh pada 2017 dan 2018 juga telah dibayar dan diselesaikan sepenuhnya.

“Untuk anggota bersara yang memohon pada 2019 dan 2020 pula akan dibayar mengikut tempoh notis 12 bulan yang ditetapkan dalam Undang-undang Kecil Kopeks (UUK),” ujarnya.

Mengulas lanjut, dibawah Akta Koperasi 1993, yuran anggota wajib dikembalikan dan Kopeks sedang berusaha menguruskan bagi mengembalikan kepercayaan anggota terhadap Kopeks,” jelasnya.

Tambahnya, mesyuarat agung tahunan Kopeks tahun ini terpaksa ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.