
Oleh EZALL ROHAIZAD
KINABATANGAN: Parti Warisan Sabah melalui Zon 5 Pantai Timur melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menghulur bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Paris di sini pada Ahad, 28 Januari 2018.
Program “Konvoi Kemanusiaan Zon 5 Parti Warisan Sabah” melibatkan kawasan Kinabatangan, Beluran, Batu Sapi, Sandakan dan Libaran parti tersebut.
Sejumlah 39 keluarga menjadi mangsa kebakaran di Kampung Paris pada hari Jumaat, 19 Januari 2018 lepas.

Sumbangan yang terkumpul hasil dari derma ahli jawatankuasa, penggerak dan pemimpin Warisan Zon 5 serta individu koperat.
Keperluan asas seperti makanan, pakaian baru dan terpakai, sejadah, telekong, kain sarung untuk kegunaan surau berdekatan diagihkankan kepada semua mangsa.
Konvoi yang diketuai Mahmud Hasan, Ketua Parti Warisan Sabah untuk Kinabatangan, bergerak jam 8.40 pagi dari lokasi pertemuan di tapak tanah lapang Roger Manuit di Bukit Garam.
Ia disertai oleh 47 buah kenderaan pacuan 4 roda dan beberapa kereta biasa, yang dilengkapi dengan bendera Parti Warisan Sabah.

Setibanya rombongan, mangsa kebakaran menyambut konvoi dengan kegembiraan walaupun mereka masih dalam keadaan trauma.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada saudara-saudara semua. Kami akan ingat bantuan ini dan menyokong perjuangan Warisan,” kata salah seorang penduduk yang mewakili mangsa kebakaran.
Warisan Kinabatangan bukan hanya mahukan perubahan yang sinonim dengan slogan ‘Sabah Ubah’ namun benar-benar ingin membela rakyat semua kaum di Sabah melalui tanggungjawab kemasyarakatan.
• Ezall Rohaizad ialah Ketua Penerangan, Parti Warisan Sabah Bahagian Kinabatangan