Kontroversi Tercetus Lagi; Unduk Ngadau Banggi Dipecat Kelayakan

LUSILAH RETNI LIM

Oleh FRANCIS AU
KOMEN: Saya sebagai seorang yang berketurunan Kadazandusun, yang cintakan warisan budaya dan ingin melihat bangsa ini terus maju dan dihormati, maka saya merasa terpanggil untuk memberi respon dan pandangan mengenai isu penyertaan wakil Unduk Ngadau Banggi Tahun 2017 yang dinafikan, yang telah mendapat perhatian ribuan netizen.

Pada 27 Mei 2017 menyaksikan seramai 44 pemenang pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan mewakili kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, Daerah dan Daerah Kecil telah mendaftarkan diri, kecuali wakil dari Daerah Kecil Pulau Banggi.

Agak mengejutkan penyertaan wakil Daerah Kecil Pulau Banggi, Lusilah Retni Lim telah ditolak penyertaannya atas keputusan pihak KDCA.

Sebelum saya mengulas lanjut, maka saya ingin perjelaskan beberapa perkara:

PERAYAAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH

Acara ini adalah acara rasmi Kerajaan Negeri Sabah yang mana Huguan Siou, Joseph Pairin Kitingan, selaku Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah adalah pengerusi kepada Jawatankuasa Induk Pelaksana (MOC) Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, yang mana beliau juga adalah Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), bersama kakitangan Kementerian.

Di peringkat perlaksanaan, satu jawatankuasa yang diberi nama; Jawatankuasa Pelaksana dan Koordinasi (MICC) Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, dipengerusikan oleh Timbalan Presiden KDCA, Dr. Maximus Johnity Ongkili, bersama ahli-ahli KDCA sebagai ahli jawatankuasanya.

Sementara di peringkat kawasan; Mayor, atau, Pegawai Daerah (DO), atau Penolong Pegawai Daerah (ADO) adalah secara otomatik dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, dibantu oleh kakitangan kerajaan dan AJK KDCA cawangan daerah berkenaan.

Hongkod Koisaan KDCA, Penampang adalah sebagai hos yang mana bangunan dan perkarangan digunakan sebagai lokasi sambutan acara kemuncak pertandingan berprestij seperti Sugandoi Kaamatan dan Unduk Ngadau Kaamatan diadakan.

ERLASTTINI ERNIE BIDI diumumkan wakil Unduk Ngadau Banggi.

Setiap tahun Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan sejumlah peruntukan kepada jawatankuasa ini bagi menganjurkan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah, bermula 1 Mei hingga 31 Mei.

Mengenai isu ini, pertamanya saya ingin mendapat kepastian daripada pihak Jawatankuasa Induk mengenai Standard Operating Procedure (SOP) yang digunapakai oleh Jawatankuasa Induk Unduk Ngadau peringkat negeri Sabah Tahun 2017 untuk menerima penyertaan wakil Unduk Ngadau Kaamatan daripada setiap daerah?

Berdasarkan pengalaman terlibat di dalam penganjuran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang lepas.

Biasanya pihak penganjur akan meminta surat watikah atau pengesahan wakil yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan ditandatangani oleh Pegawai Daerah.

Dalam pertandingan Sugandoi Kaamatan surat watikah ini turut dikepilkan bersama salinan keputusan pertandingan di peringkat daerah yang mana telah ditandatangani oleh juri-juri yang terlibat.

Pada pengamatan saya, penyertaan Lusilah Retni Lim mempunyai ‘locus standi’. Pandangan ini adalah atas sokongan beberapa hujah:

Difahamkan bahawa ADO N1 Banggi telah menghubungi pihak KDCA dan memberi penjelasan berhubung perkara ini mengenai ketatapan ADO sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur di peringkat Daerah Kecil Banggi, yang mana pemenang Unduk Ngadau Kaamatan yang diumum pada tarikh dan masa tersebut adalah muktamad selepas tempoh 24 jam.

Lusinah hilang kelayakan untuk wakil Banggi.

Ini bererti wakil Unduk Ngadau Kaamatan daripada Daerah Kecil Banggi ini memenuhi syarat pendaftaran seperti yang dikehendaki, maka seharusnya jawatankuasa menerima penyertaan wakil berkenaan tanpa halangan.

Tambahan lagi, Lusilah Retni Lim sudah membelanjakan wang ringgit sebagai persediaan.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa anggaran kos persediaan untuk menyertai pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri sekitar RM3,000 atau lebih itu, seperti bayaran make-up, sewa baju dan aksesori dan sebaginya selama tempoh menyertai pertandingan berkenaan.

Dalam hal ini, Penolong Pegawai Daerah (ADO), Pejabat Daerah Kecil Banggi telah mengesahkan penyertaan berkenaan, maka apa yang berlaku di sebalik tabir, pihak KDCA tidak boleh dipersalahkan.

Jika, sekalipun wakil yang dihantar itu bukan pemenang yang sebenar seperti yang tertulis dalam keputusan yang tular itu, maka itu bukan lagi urusan pihak KDCA sebaliknya urusan antara peserta yang teraniaya dengan pihak penganjur di peringkat kawasan.

Masalah mengenai protes penyertaan bukanlah pertama kali terjadi yang mana sebelum ini wakil Unduk Ngadau Kota Marudu Tahun 2014, Megan Liew Tzi Ling hampir-hampir dibatalkan penyertaan apabila ada segelintir pihak yang mempersoal kelayakan beliau untuk bertanding.

Syarat pertandingan telah menetapkan bahawa peserta mestilah berketurunan Kadazandusun Murut, dan salasilah keluarga beliau sememangnya mempunyai darah KDM meskipun jumlah DNA kurang daripada suku peratus, disebabkan perkahwinan campur.

Dalam hal ini, Lusilah Retni Lim sebenarnya telah menjadi mangsa keadaan.

Pihak penganjur harus mengambil ketetapan mengikut syarat dan terma pertandingan. Jika ada dinyatakan bahawa apa-apa keputusan selepas 24jam adalah tidak sah. Ini bererti peserta yang telah dimahkotakan itu adalah pemenang yang sah dan layak untuk mewakili daerahnya ke peringkat KDCA.

Bagaimanapun, mengenai kesahihan keputusan yang tular di media sosial, pihak Jawatankuasa Penganjur Unduk Ngadau Daerah Kecil Banggi seharusnya tampil memberi pencerahan.

Jika didapati salinan keputusan yang tukar itu adalah sahih dan benar, maka pihak penganjur di peringkat Daerah Kecil Pulau Banggi perlu bertanggungjawab diatas kesilapan ini.

Adalah sesuatu yang tidak munasabah apabila pengacara majlis melakukan kesilapan dalam mengumumkan pemenang, manakala para juri tidak melakukan pembetulan terhadap kesilapan berkenaan.

Merujuk keputusan yang tular itu, dinyatakan empat orang juri yang ditugaskan mengadili pertandingan berkenaan. Adalah mustahil kesemua para juri terlepas pandang kesilapan ini. Bagaimanapun tidak dinyatakan nama-nama pengadil yang terlibat.

Penjelasan oleh pihak Jawatankuasa Penganjur Pertndingan Unduk Ngadau Daerah Kecil Banggi bahawa berlaku kesilapan semasa mengumumkan keputusan pemenang adalah akibat kecuaian pengacara majlis yang dalam keadaan ‘mabuk’ atau ‘salah minum’ bukanlah satu alasan yang baik.

Justeru, apapun jalan penyelesaian yang diambil, pihak penganjur seharusnya merujuk kepada syarat dan terma Pertandingan Unduk Ngadau di peringkat daerah yang mana syarat-syarat yang ditetapkan ini adalah standard dan ianya dikeluarkan oleh Jawatankuasa Induk Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri.

Pihak penganjur harus tangkas menyelesaikan setiap masalah yang timbul sebagai menambah baik urusan penganjuran setiap tahun. Perkara ini harus menjadi ikhtibar agar ianya tidak akan berulang di masa hadapan.

“Kebudayaan Asas Perpaduan”

  • Francis Au adalah mantan Setiausaha Akhbar Kepada Joseph Pairin Kitingan