Kontraktor Ditahan Miliki 12 Pokok Ganja, 58 Peluru Hidup

TAWAU: Padah memiliki 12 pokok ganja dan 58 peluru hidup, seorang kontraktor ditahan di kediamannya, Jalan Muhibbah Raya, di sini, hari ini.

Menurut laporan Berita Harian Online, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, polis merampas 12 batang pokok disyaki ganja dengan ketinggian antara 126 hingga 212 sentimeter.

Sumber berkata, suspek mengaku memilikinya dan memberikan alasan menanam tumbuhan itu untuk suka-suka.

“Pemeriksaan lanjut ke atas rumah teres itu berjaya menemui tumbuhan kering disyaki ganja dengan berat kasar 29.52  gram yang disorok dalam rak televisyen di ruang tamu.

“Manakala 58 peluru hidup disembunyikan dalam laci meja di bilik tidur,” katanya.

Difahamkan, satu sidang media berkaitan tangkapan itu akan dilakukan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass, esok.