Kontraktor Bekal Makanan Ke Asrama Sekolah Dipenjara Sebulan, Denda RM 60,000

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM60,000 terhadap seorang kontraktor atas kesalahan memalsukan dokumen untuk mendapatkan kontrak daripada Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM7.39 juta pada 2016.

Hakim Abu Bakar Manat memerintahkan tertuduh, Siti Sadiah Sundai @ Sarudin, 38, menjalani hukuman itu selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen bagi melayakkannya mendapat Tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama bagi tiga buah sekolah di Keningau dan Nabawan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bertempat di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada 24 November 2016.

Tender tersebut melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tetagas, Nabawan dengan nilai tender RM1.195 juta; SK Longgongon, Nabawan dengan tender bernilai RM2.915 juta dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor, Keningau dengan tender bernilai RM3.287 juta.

Atas kesalahan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Peguam tertuduh, PJ Pereira meminta mahkamah supaya hanya mengenakan hukuman denda terhadap tertuduh memandangkan tertuduh mengakui kesalahannya dalam sebutan kes kali pertama.

Menurut beliau, tertuduh mempunyai empat anak berusia antara 15 hingga 23 tahun yang masih belajar di universiti dan sekolah.

Jelas beliau, tertuduh turut menunjukkan keinsafan atas kesalahan dilakukan dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan.

Katanya, jika dikenakan denda, tertuduh memohon mahkamah membenarkan bayaran dibuat secara ansuran.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basirudin ketika prosiding memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh bagi menunjukkan keadilan kerana kes ini berlaku di JPNS dan melibatkan kepentingan awam.

Jelas beliau, hukuman setimpal dapat memberi mesej jelas kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa hadapan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim menyatakan mahkamah menerima pengakuan bersalah tertuduh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dan itu menjimatkan masa mahkamah.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama sebulan bermula hari ini, serta denda RM5,000 bagi setiap satu kesalahan untuk tiga pertuduhan pertama dengan jumlah keseluruhan RM15,000.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, hakim menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM5,000 bagi setiap satu kesalahan dengan nilai denda keseluruhan RM15,000 dan jika gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjarakan empat bulan.

Bagi tiga pertuduhan terakhir, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama sebulan serta denda RM10,000 bagi setiap satu kesalahan, dengan denda keseluruhan berjumlah RM30,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda.

Hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak dan membenarkan bayaran denda dibayar secara ansuran dalam tempoh sebulan sepanjang tertuduh dipenjarakan.