Kontak Rapat Pemimpin Parti Positif Covid-19 Perlu Dikuarantin

Oleh ARDYHANSAH AMAT

TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan semua kontak rapat pemimpin parti politik yang disahkan positif Covid-19 perlu diberikan syarat kuarantin mengikut prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Dr Adham Baba berkata, ini termasuk arahan pengawasan dan pemerhatian dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan masing-masing.

“Semua kontak rapat dengan pemimpin berkenaan perlu menjalani ‘swab’ Covid-19 dan kuarantin selama 14 hari.

“Pihak kami sudah mengenal pasti kontak rapat berkaitan dan mengarahkan mereka untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kadar segera,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Berhubung status mengundi individu yang dikuarantin, Adham menjelaskan pihak terbabit boleh mengemukakan permohonan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk kebenaran mengundi selain merujuk portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Larangan mengundi hanya tertakhluk kepada yang disahkan positif Covid-19, manakala mereka yang dikuarantin masih boleh mengundi mengikut syarat yang ditetapkan.

“Dalam masa sama, saya juga menyarankan orang ramai merujuk portal SPR untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan SOP pada hari pembuangan undi,” katanya.

Sebelum ini, dua pemimpin parti disahkan positif Covid-19 selepas terbabit dalam aktiviti kempen pilihan raya di beberapa daerah, di sini.

Mereka yang disahkan positif adalah Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Razlan Rafii.

Sementara itu, calon Barisan Nasional N.71 Tanjung Batu Andi Muhammad Suryady Bandy mengesahkan beliau negatif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan berkenaan di sebuah klinik swasta, hari ini.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Andy Muhammad menyertakan lampiran keputusan ujian berkenaan.