Konsulat Indonesia Larang Rakyatnya Masuk Ke Tawau Secara Haram

Bot membawa 20kg ketam ditahan selepas dipercayai cuba memasuki perairan Malaysia di Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) meminta penduduk di negara itu tidak memasuki daerah ini secara haram selepas Kerajaan Sabah menutup semua laluan keluar dan masuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

Menerusi surat yang dihantar ke Bupati Nunukan, bertarikh 29 Mac lalu,  Konsul Repbulik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata, masih terdapat pergerakan masuk kapal jongkong, produk dan orang dari wilayah berkenaan ke Malaysia.

“Hasil maklumat yang diperolehi produk Indonesia seperti ikan dan ketam dibawa masuk ke Tawau secara haram.

“Mereka menggunakan modus operandi memunggah muatan itu dari kapal jongkong Indonesia ke kapal milik Malaysia di sempadan perairan Sungai Melayu dan Wallace Bay sebelum ia dihantar ke pasar ikan di Tawau,” katanya.

Menurut Sulistijo, pihaknya memahami keperluan masyarakat Indonesia menjual hasil laut ke Tawau apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang buruk akibat wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, masyarakat Indonesia juga perlu memahami tindakan kerajaan Malaysia mengawal ketat pergerakan di perairan Tawau adalah bertujuan mengekang penularan Covid-19 yang banyak dilaporkan berlaku di daerah tersebut.

“Justeru, kami berharap agar warga Indonesia tidak lagi menghantar hasil laut mereka ke Tawau kerana tindakan itu salah dan boleh dikenakan hukuman perundangan oleh kerajaan Malaysia kerana ingkar MCO,” katanya.

Dalam masa sama, warga negara Indonesia yang berada di Sabah ketika ini juga diminta mematuhi MCO bagi mengurangkan kontak secara langsung yang menyebabkan penyebaran Covid-19.

Sementara itu, menurut sumber, ketika ini pihak berkuasa republik berkenaan giat melakukan rondaan di sempadan perairan Pulau Sebatik yang menjadi laluan utama aktiviti penyeludupan ke Tawau.

“Pihak berkuasa Indonesia menahan dua bot membawa 20 kilogram ketam yang dalam perjalanan dari Tarakan menuju ke Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik, dipercayai untuk dibawa masuk ke Tawau, semalam.

“Walaupun terdapat surat kebenaran menghantar ketam tersebut ke Tawau, namun, pihak berkuasa di sana telah menutup semua ‘pintu masuk’ sempena perlaksanaan MCO,” katanya.