Konsortium IPTS Bakal Wujudkan Universiti Swasta Di Sabah

129

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kolej dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Sabah akan bergabung bagi membangunkan sebuah universiti swasta yang menggunakan konsep kampus terbuka (open campus) tanpa memerlukan pelajar datang ke universiti.

Presiden Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Sabah (PIPTSS) Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau berkata, cadangan berkenaan sudah dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran & Inovasi dan Ketua Menteri Sabah juga sudah maklum mengenai perkara itu.

Beliau berkata, mereka kini sedang menunggu surat daripada kementerian bagi mewujudkan universiti swasta yang akan disertai konsortium IPTS yang terdapat di negeri ini.

Katanya, persatuan itu menyasarkan untuk memulakan pembangunan universiti swasta itu pada 2021 seirinng dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pada masa kini, kolej dan universiti swasta menawarkan semua subjek hingga menyebabkan mereka terpaksa bersaing antara satu sama lain. Malah, kursus ditawarkan juga bertindih.

“Untuk itu, kita mahu bergabung dan mewujudkan sebuah universiti swasta yang membolehkan kita menyasarkan sifar pengangguran dalam kalangan graduan yang dilahirkan melalui universiti ini. Universiti ini akan menekankan subjek berasaskan keperluan industri,” katanya ketika ditemui, di sini pada Rabu.

Wong berkata, konsep kampus terbuka ini tidak sama dengan universiti konvensional lain yang mempunyai kampus yang besar yang memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Konsep sebegini sama seperti kampus yang dilaksana di Universiti London dan Universiti California.

Katanya, konsep sebegitu membolehkan usaha membawa pendidikan dekat kepada pelajar dapat dilakukan. Pelajar boleh menggunakan telefon pintar dan komputer untuk belajar secara online tanpa perlu masuk ke dewan kuliah.

Menurutnya, tiada tempoh pengajian ditetapkan untuk pelajar menghabiskan ijazah sarjana muda mereka. Ia terpulang kepada pelajar untuk menentukan bila mereka mahu menamatkan pengajian.

Berdasarkan konsep ini, anak muda boleh terus bekerja dan tinggal di kampung tanpa perlu datang ke bandar. Langkah ini bagi membolehkan kawasan luar bandar terus dimajukan oleh anak-anak muda.

“Bagaimanapun, akan ada pasukan bergerak yang akan melakukan pemantauan terhadap pelajar pada setiap semester bagi memastikan keperluan pengajian mereka tidak diabaikan.

“Sasaran kita mahu membiarkan belia kekal terus berada di kampung dan membangunkan kawasan masing-masing.

“Pada masa ini, golongan belia terpaksa berhijrah ke bandar-bandar besar apabila ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Penghijarahan sebegitulah yang kita mahu elakkan,” ujarnya.

Wong berkata, mereka akan memohon geran sepadan (matching grant) bagi membantu menjayakan universiti berkonsepkan kampus terbuka itu.

Sekiranya swasta melabur RM1juta, kerajaan juga harus memberikan peruntukan dengan jumlah yang sama dalam bentuk biasiswa mahupun bantuan kewangan kepada pelajar. Ia kerana penekanan diberi bagi membantu golongan B40 melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.