Konsep PBT Hijau Pertama Dilancar Januari Tahun Depan di Nabawan, Tongod

63

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memastikan konsep Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Hijau yang akan dilancarkan di Nabawan dan Tongod pada Januari tahun depan diperluaskan kepada semua PBT di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, konsep PBT Hijau yang pertama seumpamanya di Malaysia itu akan memastikan pembangunan secara mampan dapat dilaksanakan.

”Untuk itu, Kerajaan Sabah melalui Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan memilih daerah Nabawan dan Tongod sebagai perintis projek bagi PBT Hijau di Malaysia. Ia kerana kedua-dua daerah ini belum ada pembangunan yang pesat.

”Dibawah pembangunan berkonsepkan PBT Hijau itu, kita akan mengekalkan dan memastikan alam sekitar tidak terjejas,” katanya ketika ditanya mengenai pelaksanaan PBT Hijau di dua daerah di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo,di sini pada Khamis.

Jaujan, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan ini berkata, kementerian itu akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) dalam melaksana PBT Hijau.

Katanya, sebelum pelancaran itu, beliau akan memastikan seminar berkaitan projek perintis itu dilakukan untuk menyebar luaskan konsep pembangunan PBT Hijau berkenaan kepada masyarakat Malaysia dan Sabah.

Mengulas lanjut, beliau mahu kesedaran mengenai amalan membuang sampah dipertingkatkan bagi membolehkan pengurusan sampah yang dilaksana kerajaan dilakukan dengan lebih berkesan.

Mengenai langkah menjadikan bandaraya ini sebagai bandar hijau, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman berkata, lapan projek akan dilaksana dibawah Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu (KKGCAP).

Antaranya termasuk pemasangan lampu LED, Jesselton Waterfront City dan Sistem Pengangkutan yang sistematik.

Beliau berkata, pelaksanaan projek itu akan dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan PBT.

Bagaimanapun, tiada tempoh masa ditetapkan kerana proses menjadikan bandaraya ini Bandar Hijau akan dilakukan secara berterusan sehingga 2030.