Konsep Pasar Bersepadu Lengkap Dengan Bilik Sejuk Beku Perlu

Oleh GM THOMAS
KOTA MARUDU: Kesemua Pihak Berkuasa Tempatan Sabah disarankan mengguna pakai pembinaan konsep pasar bersepadu  yang lebih kondusif kepada peniaga dan pelanggan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pembinaan itu juga perlu dilengkapi dengan kemudahan bilik sejuk beku bagi memudahkan peniaga menyimpan bekalan bahan mentah jualan.

“Saya akan usahakan perkara ini agar pasar bersepadu di setiap daerah menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan juga pelancong.

“Pasar di sini khususnya, kita akan bina semula dengan konsep bersepadu memandangkan ianya mempunyai tanah yang luas seterusnya boleh memuatkan ruangan parkir,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak pasar ikan dan daging di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pasar itu terbakar pada setahun lepas dirancang untuk dibaik pulih dengan kos RM1 juta lebih.

Bagaimanapun katanya, pasar itu tidak perlu dibaik pulih sebaliknya bina semula pada masa hadapan.

Dalam pada itu, ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan Parti Warisan Sabah Bahagian Kota Marudu, Jaujan menasihatkan rakyat negeri ini dinasihatkan mengubah sikap pemikiran lama yang hanya mengharapkan kepada sektor kerajaan untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Katanya, peluang pekerjaan terdapat disemua sektor yang mampu memberikan pendapatan tetap.

“Namun pemikiran rakyat kita hari ini adalah hanya dengan bekerja dengan kerajaan sahaja mampu memperolehi pendapatan tetap.

“Oleh itu, pemikiran seumpamanya perlu berubah…kalau tidak berubah, apa juga perancangan yang dilakukan kerajaan tidak akan dimanfaatkan rakyat sepenuhnya kerana pemikiran rakyat tidak berubah,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, perubahan di Sabah juga mampu dilihat seawal tahun hadapan.

Katanya, semua rakyat Sabah juga perlu mempunyai pekerjaan yang memberikan pendapatan tetap tidak kira dari sektor mana sekali pun.

Dalam pada itu, Jaujan turut menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek Datuk Anita Baranting untuk membesarkan Dewan Komuniti Kota Marudu bagi kegunaan masyarakat di sini.

Selain itu katanya, beliau turut memberikan jaminan bahawa keperluan rumah mampu milik di Kota Marudu juga diberikan perhatian sewajarnya dengan mengambil tanah-tanah kepunyaan kerajaan untuk pembinaan rumah berkenaan.