Komulakan UPKO KB Anjur ‘The Biggest Loser” Tertutup Kadamaian

37
JOEL DEUKIN

KOTA BELUD: Pergerakan Komulakan UPKO Kota Belud dengan kerjasama Sweat Factory Fitness Centre (SFFC) julung kalinya akan menganjurkan “The Biggest Loser” Tertutup Kadamaian bermula September sehingga Disember ini.

Ketua Komulakan UPKO Kota Belud Joel Deukin berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan, membudayakan amalan hidup sihat dan memberi motivasi serta dorongan kepada para peserta yang inginkan berat badan ideal.

Beliau berkata, yuran penyertaan hanya RM10 bagi mereka yang mendaftar awal sebelum tarikh tutup penyertaan pada 23 September ini.

“Pihak penganjur menyediakan hadiah untuk dua kategori iaitu pemenang keseluruhan dan pemenang bulanan.

“Bagaimanapun kategori bulanan adalah pilihan iaitu peserta yang hadir semasa sesi penimbangan berat badan sahaja yang layak bertanding. Tempoh pertandingan ialah tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Joel, berkata, hadiah pertama bagi pemenang keseluruhan ialah RM500, tempat kedua RM350 dan ketiga RM200. Kesemua pemenang akan menikmati yuran keahlian percuma selama satu bulan di SFFC.

“Antara syarat pertandingan ialah, terbuka kepada lelaki dan wanita warga Kadamaian sahaja berumur 16 tahun ke atas dan tidak menghidap penyakit berisiko,” katanya.

Katanya lagi, penalti RM2 akan dikenakan kepada peserta yang mengalami kenaikan berat badan daripada berat sebelumnya. Ini bertujuan untuk mengekalkan tahap disiplin dan fokus para peserta.

Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, hubungi Joel (016-509 9604), Rowell (019-520 5071), Janik (010-947 1089), Jozieann (013-200 4060) atau Elia (019-580 5376). – BERITA & GAMBAR oleh MARYANN RAZAN