Kompleks Sukan Labuan Usang Perlu Dibaiki Segera

537

LABUAN: Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli yang melawat Kompleks Sukan Labuan berasa sedih dengan apa yang dilihatnya – antaranya sebuah kolam renang bersaiz Olimpik tetapi kini lebih menyerupai sebuah kolam ternakan ikan dan trek olahraga yang kelihatan seolah-olah baru dilanda gempa bumi.

Ringkasnya, kompleks yang dibina atas tapak seluas 20.2 hektar (50 ekar) itu kini berada dalam keadaan sangat usang dan terbiar.

Kompleks yang siap pada 1986 itu menempatkan pelbagai kemudahan untuk sukan renang, trek dan padang, skuasy, badminton, bola keranjang, sepak takraw, tenis dan memanah, selain memiliki sebuah gimnasium.

Rozman berkata keadaan usang itu adalah disebabkan oleh ‘kurangnya budaya menyelenggara di pihak pengurusan kompleks.”

“Ini amat malang dan jika diperhatikan, keadaan ini telah dibiar berlarutan sehinggakan ia kini memerlukan pembaikan menyeluruh,” katanya kepada wartawan yang mengiringi lawatan beliau itu.

Para pemberita juga mendapati kolam renang di situ telah hampir menyerupai sebuah kolam ternakan ikan. Kali terakhir ia digunakan ialah pada kejohanan Sukan Borneo 2014.

Rozman ketika membuat lawatan ke kemudahan sukan yang terbiar di Kompleks Sukan Labuan bersama wartawan

Trek olehraga pula dala dalam keadaan 90 peratus rosak dan kalau diperhatikan ia seolah-olah baru dilanda gempa bumi. Permukaannya yang diperbuat daripada getah polimer telah merekah dan tidak selamat lagi digunakan.

Gelanggang tenis juga tidak boleh digunakan disebabkan permukaannya licin dan perlu dilapis semula selain perlu dicat semula.

Atlet tempatan seringkali merungut akan keadaan kompleks sukan yang usang dan amat menyedihkan itu dan itu menjadi kekangan bagi mereka untuk menggilap bakat dan kemahiran untuk kembali cemerlang.

“Kami telah mengadu merata-rata untuk meminta agar kemudahan itu diubah suai dan dibaik pulih. Kami juga ingin berjaya dengan cemerlang tetapi disebabkan kurangnya kemudahan infrastruktur, usaha kami menjadi sia-sia sahaja.

“Selain itu, ikhtiar kami yang tidak henti-henti membawa perkara ini ke pengetahuan pihak berkuasa tidak membuahkan hasil setakat ini kerana kononnya disebabkan kekurangan dana,” kata mereka.

Meskipun Labuan adalah sebuah wilayah persekutuan, ia hanya mempunyai sebuah kompleks sukan. Sebuah lagi kemudahan sukan yang terletak di pusat bandar pula kadangkala digunakan untuk penganjuran agara-acara rasmi kerajaan.

Rozman berkata beliau berharap kerajaan baharu sekarang di bawah teraju kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyelesaikan masalah itu dan menambah, Labuan sepatutnya diberi perhatian yang sama seperti Putrajaya dan tidak seharusnya diabaikan setelah ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada 1984.

Anggota Parlimen itu turut diberi taklimat oleh Jabatan Belia dan Sukan Labuan bahawa sebanyak RM20 juta telah diluluskan untuk membaik pulih kolam renang tersebut tetapi jumlah itu tidak mencukupi dan perlu pula diagih-agihkan kepada sekurang-kurangnya lapan kerja pembaikan lain melibatkan kemudahan dan infrastruktur sukan.

Beliau berkata, sekiranya masalah itu tidak diatasi, pulau ini tidak dapat mengembalikan kegemilangannya dalam bidang sukan.

Rozman berhata pihak pentadbiran semasa perlu menjalankan kajian dan penilaian yang inklusif terhadap keadaan itu dalam mencari jalan penyelesaian yang berpanjangan.

Beliau memberi jaminan bahawa kompleks sukan itu tidak akan dibiarkan terabai dan hasrat beliau ialah ingin melihat kemudahan itu dapat dibaik pulih dan digunakan semula.