Kompleks Perikanan Bantu Tingkat Sektor Perikanan Semporna

Jaujan menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada salah seorang anak ahli PNK Semporna

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Sektor perikanan di daerah ini dijangka terus berkembang berikutan langkah kerajaan untuk membina Kompleks Perikanan bagi memudahkan nelayan memasarkan hasil tangkapan dan produk masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, Kerajaan Sabah telah mengenalpasti tapak bersesuaian bagi pembinaan Kompleks Perikanan itu.

”Kini Kerajaan Negeri dalam proses berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pusat bagi merealisasikan pembinaan kompleks berkenaan.

”Konsep rekaan juga sedang dibincangkan.

”Sekiranya pembinaan kompleks ini dapat dilaksanakan, ia bukan hanya boleh menjadi kawasan pendaratan hasil tangkapan nelayan, tetapi juga boleh menjadi tarikan pelancongan.

“Ia kerana kompleks ini nanti akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti restoran, Pasar Sejahtera dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Semporna, di sini pada Isnin.

Menurutnya, Pasar Sejahtera yang akan ditempatkan dalam kompleks itu akan memudahkan nelayan memasarkan dan menjual hasil tangkapan mereka.

Jaujan, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan berkata, dibawah pentadbiran kerajaan dahulu, kerajaan pernah merancang menaiktaraf pasar ikan sedia ada namun, ia tidak dapat dilaksana berikutan peruntukan bagi penaiktarafan itu ditarik balik.

Dengan itu, dibawah pemerintaan Kerajaan Sabah baharu hari ini, pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan untuk mendapatkan semula peruntukan bagi mewujudkan pasar ikan yang lebih baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan ini berkata, kewujudan pasar itu akan memudahkan nelayan memasarkan hasil tangkapan masing-masing.

”Peranan yang dimainkan nelayan amat penting dalam memastikan sumber bekalan ikan di Sabah khususnya, di Semporna sentiasa mencukupi,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam menjalankan aktiviti penangkapan ikan, nelayan perlu mempunyai sistem pengurusan yang baik agar hidupan marin tidak terjejas dan mengalami kepupusan.

Selaras dengan itu, kerajaan menggalakkan nelayan untuk terlibat dalam penternakan ikan sangkar agar mereka sentiasa mempunyai hasil walaupun ketika musim tengkujuh.

(Visited 1 times, 1 visits today)