Kompleks IADA Bernilai RM36 juta Mula Dilaksana Tahun Ini

KOTA BELUD: Pembinaan Kompleks Pentadbiran Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dengan kos sejumlah RM36 juta akan mula dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pembinaan kompleks itu akan memberi kemudahan kepada kakitangan IADA Kota Belud untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan kepada pesawah.

Disamping itu, kompleks berkenaan juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi.

Beliau berkata, kerja-kerja menambahbaik dan membina baharu sistem saliran dan pengairan sawah IADA Kota Belud juga akan diteruskan pada tahun ini bagi membolehkan pesawah di bawah kendalian agensi itu dapat menanam padi dua kali setahun.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM360 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran dan pengairan serta kaedah pengurusan tanaman di IADA Kota Belud dan setakat ini, RM160 juta daripadanya telah digunakan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada pesawah yang terjejas akibat banjir, di sini hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 200 kampit beras disumbangkan kepada pesawah terjejas akibat banjir di IADA, Kota Belud.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan merupakan tanggungjawab sosial Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mengumpulkan sumbangan keperluan asas makanan dari agensi di bawahnya termasuk Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Dr Ronald turut menyampaikan pampasan banjir kepada 206 petani akibat bencana banjir pada Oktober tahun lalu yang bernilai RM264,000 menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi yang diserahkan kepada Pengerusi Kumpulan Pengguna Air Kampung Taun Gusi 2, Saidin Karut.

Bantuan kewangan itu merupakan sebahagian daripada RM674,821 jumlah bantuan diserahkan kepada pesawah terjejas banjir pada tahun lepas.

Katanya, MAFI akan terus memperkasa konsep penanaman padi berskala besar bagi meningkatkan hasil penanaman padi serta meningkatkan pendapatan petani.

“Konsep penanaman padi berskala besar perlu dilakukan secara baik dengan menerapkan pendekatan baharu yang boleh mengurangkan kos, bermakanisasi moden serta aplikasi kaedah pertanian tepat.

“Ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import sekali gus meningkatkan pengeluaran padi beras negara dan pendapatan pesawah,” ujarnya.