Komitmen SAFA Jaga Kebajikan Pemain Kunci Utama Kejayaan Sabah

97
MATLAN MARJAN. -Gambar ihsan Berita Harian

KUALA LUMPUR: Keupayaan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menjaga kebaikan pemain dan pegawai pasukan, menjadi antara kunci utama kejayaan pasukan berkenaan menjulang trofi Liga Premier musim ini.

Legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan yang mengikuti rapat perkembangan skuad kendalian Jelius Ating musim ini, mengakui, pengurusan SAFA yang diterajui Datuk Peter Anthony, sentiasa mengambil berat kebajikan pemain termasuk soal pembayaran gaji.

“Selama saya mengikuti perkembangan pasukan Sabah walaupun saya sudah lagi tidak bermain, saya lihat sebelum ini masih ada masalah gaji dan kebajikan lain yang menghimpit pemain.

“Namun, kini kita dapat lihat pemain-pemain Sabah sudah bebas daripada masalah itu dan ini semua atas usaha keras daripada tahap pengurusan sendiri, yang tidak pernah lepas tangan jaga kebajikan pemain dengan baik,” kata Matlan dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Dalam pada itu, Matlan yang membantu Sabah menjulang trofi Piala FA 1995 berharap, Jelius dapat menampilkan corak taktikal yang berbeza memandangkan skuad Tambadau (Seladang) bakal mengharungi saingan Liga Super yang lebih mencabar pada musim hadapan.

“Strategi tidak boleh sama, perlu lebih kreatif dan lebih bijak dalam menghasilkan skuad terbaik untuk beraksi di pentas Liga Super.

“Daripada segi latihan pula, usaha perlu digandakan lebih banyak daripada apa yang dilakukan ketika di Liga Premier dan persiapan perlulah bermula daripada sekarang,” tegas Matlan.

Sabah kembali ke saingan Liga Super musim depan setelah menundukkan UiTM FC, 2-1 pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam pada 9 Julai lepas.

Kejayaan berkenaan turut dibantu kekalahan pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim II yang tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kali terakhir Sabah beraksi dalam saingan Liga Super adalah pada 2012 yang menyaksikan mereka menduduki tangga ke-13.