Komitmen Pemain, Pengurusan Dan SAFA, Kunci Kejayaan Sabah

66

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Kejayaan skuad bolasepak Sabah menjulang trofi kejuaraan liga perdana musim ini selain melayakkan diri ke saingan liga super tahun hadapan, adalah hasil komitmen dan kerjasama cukup erat antara pemain, pengurusan dan pihak Persatuan Bola Sepak Sabah, SAFA.

Bagi ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, sejak Datuk Peter Anthony mengambil alih kepimpinan Safa dalam tempoh kurang setahun, kebajikan semua pemain lebih terjaga manakala semua aspek berkaitan pengurusan pasukan menjadi lebih terancang dan teratur.

“Kejayaan kita tahun ini oleh kerana kerjasama yang baik dari setiap pemain dan terlebih kepada pengurusan yang begitu bekerja keras memastikan keperluan kebajikan pemain pasukan mencukupi terjaga so akhirnya pemain pemain dan jurulatih dan pegawai semua juga turut memberi komitmen yang baik didalam kejayaan kita kali ini” katanya ketika ditemui selepas tiba bersama pasukan Sabah di lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu semalam dan disambut ratusan penyokong.

Jelius berharap kejayaan menjulang trofi kejuaraan dalam tempoh 23 tahun itu akan menjadi permulaan terbaik khususnya kepada pemain muda Sabah yang memainkan peranan penting dalam mencorak kejayaan itu untuk melangkah lebih jauh bagi mencapai kecemerlangan.

Muncul juara liga tahun ini turut mencipta sejarah tersendiri bagi Jelius dan penolongnya Burhan Ajui kerana mereka juga merupakan antara pemain Sabah yang menjuarai liga perdana, 23 tahun yang lalu.

Sementara itu Datuk Peter menyeru penyokong Sabah untuk hadir beramai ramai menyaksikan perlawanan kedua terakhir Sabah musim ini menentang Kelantan di stadium Likas Sabtu ini.

Perlawanan itu amat istimewa kerana Sabah akan menerima trofi Piala Juara Liga Premier dan turut dihadiri Yang DiPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni serta juga Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Ganjaran kepada pasukan Sabah akan turut diumumkan malam itu oleh Mohd Shafie selepas dibawa ke mesyuarat kabinet negeri semalam.

Untuk rekod, kali pertama dan terakhir Sabah menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana ialah pada 1996.

“Ini adalah sesuatu pencapaian yang luar biasa, boleh dikatakan disebabkan kejuaraan ini sudah berlanjutan lebih 23 tahun dan pada hari ini dibawah kepimimpinan kerajaan yang baharu, Ketua Menteri berkat daripada tunjuk ajar beliau, bimbingan beliau selaku ketua menteri,” katanya.

“Hari ini kita berjaya menyusun membimbing satu pasukan yang begitu padu dan kita telah berjaya mengalahkan beberapa pasukan elit seperti pasukan JDT yang begitu padat yang begitu padu namun dengan kerjasama daripada semua pasukan begitu juga dengan komitmen yang tinggi daripada semua pemain, akhirnya kita telah berjaya,” kata Datuk Peter selepas turut sama menyambut kepulangan pasukan Sabah di lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu kelmarin.