Komited Membangunkan Sabah : Berita BTtv – 6 Oktober 2019

Bersama Hikma Juni
  • Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata Sabah komited untuk melonjakkan lagi pembangunan dan ekonomi negeri dengan menumpukan kepada usaha mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi perancangan dan pengurusan yang efisien. Usaha itu juga didorong oleh pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang akan mencetuskan perkembangan ekonomi yang besar di Borneo.
  • Reputasi Sabah sebagai jaguh bolasepak wanita terserlah apabila 15 pemain dari negeri ini terpilih mewakili skuad bolasepak wanita negara ke temasya sukan SEA di Filipina, November ini. Pemain juga menerima suntikan semangat apabila Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe yang mengadakan pertemuan dengan mereka petang tadi, memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian beberapa isu yang membelenggui skuad itu. Ia termasuk elaun latihan pemain sebanyak RM1,500 sebulan yang belum dibayar sejak 2 bulan lalu dan hadiah kemenangan wang tunai RM20,000 dalam satu kejohanan di Shah Alam tahun lalu yang belum diagihkan kepada pemain.
  • Eksesais Tiger Strike, latihan ketenteraan tahunan Angkatan Tentera Malaysia dan United States Marine Corps, berjaya dilaksanakan dengan memfokuskan teknik serangan amfibia, hutan dan udara di lapang sasar udara, LASARUD, Kota Belud.
  • Tindakan pantas Jabatan Air Negeri Sabah, JANS berjaya mengelak pembaziran air apabila paip bersaiz 450 milimeter yang pecah akibat dilanggar sebuah kenderaan berhampiran hospital Queen Elizabeth 1, pagi tadi, berjaya dipulihkan.
  • Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut manakala 2 rakannya cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas lalu melanggar pokok berhampiran stesen minyak Shell, Donggongon, pagi tadi.
  • Seorang pemuda yang ketagihan judi dan dihimpit masalah hutang ditemui maut dipercayai membunuh diri berhampiran sebuah resort di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat, semalam.