Kolam Renang Swasta Turut Beroperasi Dalam Norma Baharu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Aktiviti riadah di kolam renang sentiasa menjadi pilihan anak-anak kecil yang gemarkan air.

Namun, sejak penularan jangkitan Covid-19, aktiviti riadah di kolam renang terpaksa dihentikan sementara waktu bagi mengelakkan penularan wabak berlaku.

Bagaimanapun sejak 1 Julai lalu, kerajaan Sabah membenarkan semula aktiviti riadah di kolam renang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Di The Magellan Sutera Harbour, penetapan dan pematuhan SOP turut diberi perhatian serius bagi memastikan semua pelanggan resort sentiasa berada dalam keadaan selamat.

SHAHRANI BASRI

Penolong Pengurus Sukan dan Rekreasi Sutera Harbour Resort, Shahrani Basni berkata, operasi kolam renang di situ masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkaitan.

“Untuk pemeriksaan tahap klorin dalam kolam, kalau dulu empat kali sehari, sekarang ini kita periksa setiap dua jam atau tujuh kali sehari.

“Daripada segi SOP pula, sekarang kami tidak sediakan kusyen lagi di kerusi yang disediakan kerana senang untuk melakukan disinfeksi kuman, sebelum dan selepas digunakan.

“Bagi kawalan pergerakan pula, untuk satu keluarga dibolehkan berdekat tapi, sekiranya terlampau ramau, kami akan bagi amaran kepada pengguna untuk menjarakkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui, di Kolam Magellan Sutera Harbour Resort, di sini hari ini.

Tinjauan Borneo Today pagi tadi mendapati, ramai kanak-kanak mandi-manda di kolam renang resort tersebut sambil dipantau oleh anggota penyelamat.

Kolam renang berkenaan dibuka dari 7 pagi hingga 8 malam dan tiada had masa ditetapkan kepada pelanggan yang ingin beriadah di kolam tersebut.

Menurut Shahrani, untuk penggunaan bilik mandi (dalam bangunan) pula, dulu tiada ketetapan had penggunaan tapi sekarang mereka tetapkan 15 orang setiap kali masuk.

Keadaan lenggang di kolam renang awam di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas.

Beliau berkata, penggunaan jaket keselamatan bagi kanak-kanak juga akan disanitasi dan dijemur setiap kali penggunaan.

“Kami cuma berikan yang sudah disanitasi kepada pelanggan. Kami hanya berikan jaket keselamatan yang sudah kering,” ujarnya.

Tinjauan di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, suasana kolam masih lenggang biarpun pada hujung minggu.

Kolam renang di kompleks sukan ini mula dibuka sejak 1 Julai lalu.