KM Sokong Keluarkan M’sia Dalam Senarai Negara Berisiko Penculikan

421

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong usaha Kementerian Luar Negeri yang meminta agar Amerika Syarikat mengeluarkan Malaysia daripada senarai negara ‘K’ iaitu negara berisiko berlaku penculikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, nasihat perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat yang menyenaraikan Pantai Timur Sabah sebagai kawasan berisiko berlaku penculikan itu tidak diketahui secara meluas oleh orang ramai dan masih mampu ditangani.

”Ianya (nasihat perjalanan) tidak diketahui secara meluas oleh orang ramai . Pelancong masih lagi datang ke Sipadan dan Semporna dan ianya masih boleh diuruskan. Maka, tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya ketika ditanya mengenai nasihat perjalanan dikeluarkan Amerika Syarikat yang menyenaraikan Malaysia, iaitu Pantai Timur Sabah sebagai kawasan berisiko penculikan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kunjungan Hormat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Mohd Shafie berkata, nasihat perjalanan sebegitu pernah dikeluarkan suatu ketika dahulu dan beliau akan memastikan kerajaan melakukan yang terbaik untuk memperketatkan keselamatan dan menjaga kedaulatan negara.

Katanya, Kementerian Luar Negeri telah meminta Kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan Malaysia dari senarai itu dan kerajaan akan memastikan kawasan Pantai Timur Sabah selamat untuk dikunjungi pelancong.

“Dari dahulu hingga sekarang, pelancong yang datang ke Sabah bukan hanya dari China tetapi juga dari negara-negara Eropah.

“Apa yang kita harapkan sekarang adalah kita bekerjasama erat dengan Amerika Syarikat. Jika mereka mempunyai maklumat mengenai ancaman bahaya yang datang dari kawasan tertentu, mereka boleh berkongsi maklumat itu bagi memastikan kita boleh tangani bahaya yang datang daripada pihak tidak bertanggungjawab.

”Langkah ini bagi memastikan keselamatan di kawasan dan wilayah ini terjamin,” jelasnya.

Ketika ditanya kesan nasihat perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat itu terhadap kedatangan pelancong ke Sabah, Mohd Shafie berkata, memang tidak dinafikan tindakan itu sedikit-sebanyak akan memberi kesan kerana kebimbangan pasti timbul dalam kalangan pelancong Eropah.

”Namun kita dapati masih ada pelancong yang datang ke Sabah dan menyelam di Sipadan dan Pulau Manukan. Ia tidak menjadi masalah sangat.

”Pulau-pulau di sekitar Kota Kinabalu bukan bahaya sangat jadi ianya tidak perlu diperbesarkan.

”Ia (nasihat perjalanan) mungkin untuk panduan sebagai peringatan tetapi kejadian yang berlaku itu adalah di Selatan Filipina mengenai pertelingkahan antara pimpinan yang ada di sana.

”Kita akan berusaha memastikan perkara ini tidak akan berlaku di Sabah, kita akan lakukan yang terbaik,” ujarnya.

Pada Ahad, Kementerian Luar Negeri menggesa Amerika Syarikat mengeluarkan Malaysia dalam senarai negara ‘K’ dan meminta penjelasan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Katanya, Kementerian Luar Negeri membantah sekerasnya keputusan kerajaan Amerika Syarikat yang memasukkan Pantai Timur Sabah dalam senarai indikasi ‘K’ yang baharu diperkenalkan.