KM: Peranan Esscom Berjaya Kurangkan Jenayah Rentas Sempadan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
LAHAD DATU: Kadar jenayah rentas sempadan yang berlaku di perairan negara telah menurun sepenuhnya sejak penubuhan pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sepanjang 1,700 kilometer kawasan Zon Selamat Timur Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, peranan Esscom tidak boleh dinafikan sebagai jentera barisan hadapan bagi membanteras setiap ancaman keselamatan yang mendatang.

“Adanya Esscom turut memberi keyakinan kepada rakyat mengenai peningkatan tahap keselamatan di Sabah dan keharmonian rakyat terjamin.

“Kehadiran Esscom juga sekali gus merupakan gambaran bahawa kerajaan berusaha menangani masalah keselamatan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali dalam majlis perjumpaan penjawat awam persekutuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Esscom hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Shafie merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Negara mencadangkan supaya penstrukturan dan penambahbaikan Esscom dipercepat demi kepentingan keselamatan negara.

Cadangan tersebut adalah untuk mengatasi jenayah rentas sempadan secara total terutama kes penculikan yang masih berlaku secara terpencil.

Mohd. Shafie berkata, dalam membicarakan tentang keselamatan negara, media turut berperanan memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Beliau berkata, berita yang disampaikan perlu bersifat memupuk keamanan, menjaga keharmonian, mengelakkan konflik sekali gus menentang berita palsu yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.

“Pihak media haruslah membina satu pemahaman umum mengenai prinsip utama pihak keselamatan dalam melaksanakan operasi keselamatan.

“Misalnya, berita perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kawasan Esszone haruslah difahami umum tentang tujuan pelaksanaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Komander Esscom, Datuk DCP Hazani Ghazali yang turut hadir dalam majlis itu menyarankan media seelok-eloknya membuat pengesahan dengan pihak berkuasa tempatan sebelum suatu isu disebarkan kepada umum.

“Janganlah ada pihak-pihak yang memanipulasi isu keselamatan sehingga menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.