KM Minta Rakyat Bersama Kerajaan Pastikan Pembangunan Diteruskan

SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini disaran supaya memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan bagi membolehkan usaha pembangunan terlaksana jauh lebih baik berbanding dengan tahun 2018.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, rakyat di negeri ini perlu bersatu tanpa mengira bangsa dan agama.

“Hanya melalui perpaduan dan kemakmuran negara dan negeri Sabah dapat membantu dalam memastikan kelangsungan pembangunan diteruskan untuk dinikmati oleh pewaris anak-anak kita pada masa akan datang.

“Selaku rakyat, kita harus mempunyai pendekatan yang baik bagi memastikan pembangunan di peringkat negeri dapat dijayakan.

“Apa juga cabaran dan rintangan dihadapi sekiranya rakyat bersatu maka, kerajaan mampu menjalankan pentadbiran dengan baik. Dengan itu, segala masalah yang dihadapi dapat kita tempuhi bersama,” katanya dalam Perutusan sempena Tahun Baharu 2019, di sini pada Isnin.

Mohd Shafie berkata, tahun 2019 merupakan satu tahun yang penuh dengan cabaran dan rintangan bukan hanya di peringkat negara, tetapi juga di seluruh dunia.
Tahun hadapan akan menyaksikan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Oleh itu, kekangan kewangan akibat hutang yang begitu banyak sudah pasti akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi di rantau dan di negara ini, tidak terkecuali di peringkat negeri Sabah.

Dengan itu, kerajaan dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) telah melakukan beberapa perubahan demi kepentingan rakyat dan kebaikan negeri ini. Antara langkah itu termasuklah:-

1. Export Kayu Balak diberhentikan.
2. Geran Komunal dimansuh.
3. Yayasan Sabah memperuntukan “one-off” RM10 juta untuk anak-anak memulakan pembelajaran ke pengajian tinggi.
4. Semua kontrak jabatan air dahulu yang mempunyai hubung kait dengan skandal Watergate dibatalkan.
5. Projek Pan Borneo diteruskan.
6. Royalti minyak yang tinggi akan dituntut bersesuaian dengan terma terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mendapatkan pembayaran dana khas bagi Sabah.

Menurutnya, walau baharu tujuh bulan menjadi kerajaan, Warisan sudah berjaya mencatatkan perubahan dalam pentadbiran dan pemerintahan di Sabah.

Perubahan itu termasuklah langkah mewujudkan dua kementerian baharu iaitu Kementerian Pelajaran dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat. Begitu juga di peringkat kabinet persekutuan yang memperlihatkan wakil Sabah ditempatkan di kementerian yang strategik.

Mohd Shafie berkata, banyak lagi yang akan kerajaan laksanakan untuk mendapat hasil daripada usaha-usaha yang dirancang sejak 12 Mei 2018.

Dalam pada itu, beliau ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2019 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan mudah-mudahan negeri ini akan sentiasa dalam keadaan baik, selamat, dan makmur.

Mudah-mudahan, pada Tahun Baru 2019 kita mendapat kebaikan dan juga kemakmuran di Sabah.