Tahap Kesiagsiagaan Dan Kawalan Keselamatan Dipertingkatkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Agensi keselamatan di negeri ini diingatkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kawalan keselamatan terutama ketika menjelang musim perayaan yang menyaksikan kemasukan ramai pelancong ke Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata,agensi keselamatan juga tidak boleh mengambil ringan keadaan keselamatan pada masa kini dan perlu memastikan anggota keselamatan sentiasa bersiap-siaga bukan hanya di kawasan ‘hotspot’.

“Kita tahu semasa musim perayaan banyak pelancong datang dan ini yang memerlukan kita memastikan keselamatan terus ditingkatkan dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Menurutnya, berikutan keadaan cuaca yang panas sekarang, beliau telah berjumpa dengan beberapa ketua kampung dan meminta mereka memastikan kampung yang ditadbir sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Jika ada kebakaran di merata tempat, keselamatan dan nyawa penduduk kampung perlu diberi keutamaan.

“Saya juga akan memastikan agensi terlibat dapat meningkatkan usaha dalam pemadaman kebakaran dan menyelamatkan nyawa manusia,” ujarnya.

Mohd Shafie juga menyarankan rakyat di negeri ini supaya mempunyai kebertanggungjawaban yang tinggi dalam memastikan keselamatan rumah mereka dengan baik.

Katanya, orang awam tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan bomba mahupun agensi keselamatan lain dalam memastikan kebakaran tidak berlaku.

“Kita perlu mempunyai kebertanggungjawaban sendiri. Bila saya suarakan, ini bukan bermaksud kita ingin menyalahkan mana-mana pihak. Kita sendiri kena mempunyai tanggungjawab dalam memastikan tiada bahan mudah terbakar berada berhampiran dengan tempat memasak,” jelasnya.

Ditanya tentang bantuan terhadap mangsa kebakaran di Pulau Banggi, Kudat, Mohd Shafie berkata, agensi berwajib telah dimaklumkan supaya memastikan bantuan kebajikan kepada mangsa kebakaran dipercepatkan.

“Keperluan asas sahaja yang disediakan, tiada barangan keperluan secara berlebihan yang akan diberikan. Nanti ada pula orang sanggup bakar kampung jika bantuan televisyen dan sebagainya diberikan,” katanya.

Beliau berkata, walau mangsa kebakaran agak kurang selesa tinggal secara sementara di Pusat Pemindahan tetapi janganlah pula ingat apabila kebakaran berlaku hari itu juga kerajaan dapat membantu membina rumah, itu memerlukan masa.

Pada 13 Januari, 81 buah rumah terbakar di Kg Perpaduan Karakit, Pulau Banggi Kudat. Ia termasuklah dua asrama guru Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit.