KM: Kerajaan Sabah Terus Komited Bantu Tingkat Prasarana Pendidikan

255
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri akan terus komited untuk membantu meningkatkan prasarana dan akses pendidikan yang berkualiti di Sabah.

Beliau berkata perkara itu sangat penting untuk memastikan kualiti pendidikan di negeri ini akan terus meningkat bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga peringkat antarabangsa.

“Kita sedar terdapat pelbagai kekangan kepada dunia pendidikan di Sabah. Masalah yang dihadapi bukan sahaja dari segi taburan demografi negeri ini yang luas dan sukar terutamanya di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, namun banyak lagi masalah lain seperti kelengkapan sekolah.

“Kerajaan negeri sangat prihatin dengan masalah ini dan kita akan terus komited membantu tingkatkan prasarana pendidikan yang berkualiti di seluruh Sabah,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa Orang Asli dan Pribumi (KEDAP) Kali Ke-7 di sini hari ini (Selasa).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Mohammad Mohamarin.

Mengulas mengenai majlis itu, Mohd Shafie berkata program KEDAP adalah sangat unik dan mampu memberi impak yang positif kepada para ibu bapa yang terlibat.

“Bukan mudah untuk ibu bapa masuk ke kelas dan belajar kemahiran membaca, menulis dan mengira seperti anak-anak mereka. Oleh itu saya mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa yang telah berjaya mengikuti dan menamatkan program ini.

“Saya dimaklumkan program ini berjaya mencapai objektif pelaksanaannya iaitu meningkatkan penyertaan ibu bapa ke kelas, sekaligus mendorong peningkatan kehadiran anak-anak mereka ke sekolah,” katanya.

Katanya program KEDAP itu sudah tentu dapat meningkatkan enrolmen murid, sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pendidikan di Sabah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata seramai 324 peserta dari 12 sekolah pedalaman di Sabah telah menerima sijil KEDAP yang bertujuan meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan pribumi di Sabah.

“KEDAP adalah program untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan demi masa depan anak-anak dan pelaksanaan di Sabah tertumpu di kawasan pedalaman dan menyasarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah di sekolah berkenaan,” katanya.