KM Jadi PM, DSSA Layak

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kewibawaan dan pengalaman luas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam pentadbiran negara melayakkannya untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai satu video yang tular memaparkan Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri baharu.

“Bagi saya, cadangan siapa Perdana Menteri adalah ‘urusan’ di peringkat Pusat.

“Namun, jangan perlekehkan kebolehan pemimpin dari Sabah dan Sarawak kerana pemimpin kita juga berpengalaman luas dalam pentadbiran negara,” katanya kepada media selepas mempengerusi mesyuarat tertutup bersama pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Warisan Bahagian Tawau Salip Ejal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Osman Jamal.

Menurut Jaujan, selain pernah menjadi Naib Presiden kepada parti politik, Mohd Shafie juga berpengalaman menerajui tujuh kementerian dalam tempoh 30 tahun bersama tampuk kerajaan dahulu.

“Malah beliau juga berpengalaman dalam hubungan antarabangsa termasuk menjadi Presiden Parlimen Komanwel selama dua penggal.

“Selain itu, jika dalam perjumpaan bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, ada pihak mendakwa menunggu lebih 20 tahun untuk jawatan nombor satu (Perdana Menteri) itu, bagaimana pula dengan Sabah dan Sarawak?,” katanya.

Menurut Jaujan, sudah hampir 60 tahun Malaysia dibentuk, belum pernah ada pemimpin dari Malaysia Timur menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, beliau menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada 40 keluarga mangsa kebakaran di Lorong Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas, hari ini.

Selain itu, mangsa turut menerima bantuan dalam bentuk keperluan makanan.