Kluster Merinding Di Labuan Libatkan Institusi Pengajian Tinggi

LABUAN: Kluster Merinding yang diumumkan semalam melibatkan sebuah institusi pengajian tinggi yang terletak dekat Kampung Merinding di sini.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata sekurang-kurangnya lima kes dikesan daripada pusat akademik itu dengan 1,010 individu termasuk pensyarah telah menjalani ujian saringan COVID-19 setakat ini.

“Kami melakukan yang terbaik untuk mengawal penularan virus ini dalam kalangan pelajar dan pensyarah. Oleh kerana sekatan pergerakan telah dilaksanakan di sana berikutan pengumuman kluster itu, kami berharap prosedur operasi standard (SOP) akan dipatuhi sepenuhnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan Idris Omar ketika dihubungi mengesahkan kluster itu melibatkan kolej berkenaan dengan 2,800 pelajar dan pensyarah kini menjalani kuarantin di dalam premis kolej sejak semalam.

“Ini adalah dugaan besar daripada Allah yang perlu kita tempuhi…keutamaan kami sekarang adalah kebajikan pelajar dan pensyarah. Kami perlu pastikan penyebaran COVID-19 dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 2,305 kes COVID-19 direkodkan di Labuan.