Kluster D’Bajaru Dikesan Dari Saringan Komuniti Di Lahad Datu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah melaporkan 293 kes positif baharu Covid-19 dengan satu kluster baharu, hari ini.

Kluster baharu itu adalah kluster D’Bajaru yang dikesan melalui saringan komuniti di Kampung (Kg) Dasar dan Kg Desa Bajau, Lahad Datu. Setakat ini, sebanyak 56 kes positif dikesan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, 15 daerah mencatatkan kes positif baharu hari ini serta dua kematian dicatatkan di Sandakan.

Beliau berkata, Kota Kinabalu kembali mencatatkan kes tiga angka dengan 101 kes, diikuti dengan Lahad Datu (82), Tawau (35), Penampang (28), Sandakan (15), Putatan (8), Semporna (7) dan empat kes di Tuaran, Pitas dan Papar.

Manakala, satu kes masing-masing di Kota Belud, Beluran, Keningau, Kuala Penyu dan Kalabakan.

Hari ini, Kalabakan yang baharu disenaraikan sebagai sebuah daerah dimasukkan dalam zon kuning.

Dengan tambahan dua kematian hari ini, keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 199 kes.

Sementara, sebanyak 1,934 kes pulih dilaporkan, dengan bilangan kumulatif kes pulih sebanyak 21,655 kes.

Setakat ini, sebanyak 26,912 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,064 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 635 orang di hospital dan 1,429 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 65 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini kekal dengan 5,577 katil dengan peratusan penggunaan 31.35 peratus.