Kluster Baharu COVID-19 Di SMK Tambunan

KOTA KINABALU : Kluster Jalan Kepayan Lama di Tambunan yang dilaporkan di Sabah, hari ini, membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster berkenaan ialah seorang pelajar berusia 18 tahun yang tinggal di asrama.

“Kes indeks didapati positif setelah menjalani ujian kendiri dan ujian pengesahan Covid-19 RTK Antigen kerana bergejala.

“Saringan Covid-19 seterusnya telah dibuat ke atas kontak rapat di kalangan rakan-rakan seasrama dan didapati 34 orang lagi positif,” katanya hari ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata, siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menunjukkan setakat ini, jangkitan dan penularan virus terhad dikalangan pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sama.

Katanya, kesemua pelajar yang didapati positif telahpun diasingkan untuk rawatan.

“Daerah Tambunan menjadi penyumbang kedua tertinggi hari ini dengan 36 kes, di mana 34 daripada kes iti adalah daripada satu kluster baharu, Kluster Jalan Kepayan Lama,” katanya.

Sabah mencatatkan 213 kes positif baharu Covid-19 hari ini, penurunan 52 kes berbanding 265 kes semalam.

3 kes kematian dan 1 kluster baharu, Kluster Kayul di Kuala Penyu, turut dilaporkan di Sabah, semalam.

Sebanyak 209 daripada 213 kes positif baharu Covid-19
yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Terdapat empat kes dalam kategori 3 (radang paru-paru tapi tidak memerlukan oksigen) manakala tiada kes dalam kategori 4 dan 5.