Kluster Baharu COVID-19 Di SMK Sandakan

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, kali ini membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan yang menyumbang 72 daripada 74 kes positif baharu COVID-19 di Sandakan hari ini.

Kluster Jalan Pertukangan di Sandakan adalah kluster ketiga yang membabitkan sekolah menengah dalam tempoh 5 hari di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kes indeks kluster berkenaan ialah seorang pelajar berusia 16 tahun yang tinggal di asrama dan mula bergejala pada 16 Januari lalu.

“Pesakit menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan disahkan positif pada hari yang sama.

“Saringan bagi mengesan kontak rapat kes telah dijalankan dan sehingga kini telah berjaya mengesan 72 lagi kes positif. Kesemua pesakit adalah dalam kategori satu dan dua dan telah diberikan rawatan yang sesuai,” katanya hari ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata kluster baharu ini sekaligus melonjakkan jumlah kes positif baharu COVID-19 harian di Sabah kepada 242 kes, peningkatan 41 kes berbanding semalam.

Sabtu lalu, SMK Tambunan turut mencetuskan kluster baharu, Kluster Jalan Kepayan Lama di mana lebih 30 pelajar disahkan positif Covid-19.

Manakala semalam, SMK Ranau mencetuskan kluster baharu, Kluster Puri Ranau yang merekodkan 7 kes positif di kalangan pelajar sekolah berkenaan.

Sebanyak 238 daripada 242 kes positif baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Terdapat tiga kes dalam kategori 3 (jangkitan atau radang paru-paru tapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 1 kes dalam kategori lima (bergejala kritikal seperti
mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi termasuk bantuan pernafasan) manakala tiada kes dalam kategori 4.