Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pengesanan kes positif di asrama sekolah itu mewujudkan satu lagi kluster institusi pendidikan iaitu kluster Jalan Bypass Kologon di Ranau.
“Kes indeks bagi kluster ini ialah seorang pelajar asrama perempuan SMK Kundasang yang berumur 16 tahun yang mula bergejala pada 17 Januari dan selepas melakukan ujian kendiri, pelajar ini disahkan positif melalui saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (PCR).
“Saringan ke atas kontak rapat yang melibatkan 70 orang pelajar yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan setakat ini enam lagi pelajar dan rakan sebilik indeks kes didapati positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masidi berkata, kesemua pesakit adalah dalam kategori 1 dan 2. Kesemua mereka telah diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai.
Ini adalah kluster keempat membabitkan pelajar asrama sekolah dan tiga sekolah sebelum ini yang turut mencetuskan kluster adalah SMK Tambunan, SMK Ranau dan SMK Sandakan.
Menurut Masidi, kes positif baharu Covid-19 hari ini meningkat kepada 218 kes berbanding semalam.
Sehingga kini, sembilan daerah mencatatkan kes dua angka dengan Tuaran merekodkan kes tertinggi iaitu 37 kes dan diikuti Kota Kinabalu dengan 34 kes.
Sementara itu, sejumlah 12 daerah lagi mencatatkan kes satu angka dan enam daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu.
Jelasnya, daripada 218 pesakit, 215 orang berada dalam kategori 1 dan 2 manakala, tiga pesakit dalam kategori 3.