KKM Segera Tempatkan Mesin Ujian Covid-19 Di Sandakan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Kementerian Kesihatan perlu mempercepatkan usaha menempatkan mesin GeneXpert automatik di Hospital Duchess of Kent, di sini dalam usaha memaksimumkan ujian Covid-19.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata ia penting kerana ketika ini keputusan bagi ujian Covid-19 mengambil masa lama dengan sampel dari daerah ini perlu dihantar ke makmal di Kota Kinabalu.

Secara purata, katanya, sampel ujian yang diambil di daerah ini mengambil masa satu minggu untuk mendapatkan keputusan dan tempoh lama itu tidak berkesan dalam usaha menangani pandemik berkenaan.

“Kita mengalu-alukan cadangan kementerian untuk menempatkan mesin berkenaan, tetapi ia perlu disegerakan.

“Pada masa sama, kita berharap kementerian juga bersedia melengkapkan tenaga kerja dan ‘reagent’ agar mesin berkenaan dapat digunakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Shir Yee berkata demikian susulan jawapan bertulis Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang menyatakan kementerian dalam perancangan menempatkan mesin GeneXpert automatik di hospital berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Adham menjawab soalan Shir Yee mengenai status terkini cadangan membina makmal ujian baharu di daerah ini seperti mana diumumkan pada 14 April lalu oleh kementerian berkenaan.

Adham berkata, tiada makmal baharu akan dibina di daerah ini, namun hospital terbabit akan membeli pendiagnosa molekular untuk meningkatkan ujian berkenaan.

Katanya, kementerian juga sudah meningkatkan kapasiti ujian RT-PCR daripada 1,000 sehari pada Januari kepada 37,336 sehari pada Julai lalu.

“Mewujudkan lebih banyak makmal seumpama makmal dengan kepakaran mikrobiologi atau membeli mesin GeneXpert automatik yang dapat dilakukan pegawai makmal tanpa memerlukan makmal molekul yang lengkap adalah kaedah lain digunakan untuk memaksimumkan kapasiti ujian Covid di seluruh negara.

“Hospital Sandakan telah dikenalpasti sebagai salah satu makmal hospital yang disasarkan untuk pengembangan makmal berkenaan,” katanya.

Adham berkata, biarpun kes Covid-19 harian menurun, kementerian memutuskan untuk meneruskan inisiatif itu memandangkan perancangan berkenaan relevan dengan enam kunci utama dasar pemisah oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai keperluan memastikan negara memiliki kapasiti yang mencukupi untuk pengesanan dan pengujian Covid-19.