KKLW Peruntuk RM60 Juta Projek Bekalan Air Sandakan, Jimmy Wong Diberitahu

Jimmy Wong 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sejumlah RM60 juta bagi pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar Pulau Timbang di Sandakan, Sabah.

Timbalan Menteri KKLW Datuk Alexander Nanta Linggi berkata projek bekalan air tersebut yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 akan mula dilaksanakan tahun ini.

“Projek Bekalan Air Luar Bandar Pulau Timbang merangkumi beberapa perkampungan di sana yang telah dikenal pasti pihak berkuasa air negeri dan sehingga kini, pelaksanaannya dalam proses lantikan perunding dan juruukur tanah,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat hari Rabu.

Beliau menjawab soalan Wong Sze Phin (DAP-Kota Kinabalu) yang ingin tahu projek bekalan air bersih termasuk yang sedang berjalan atau dalam perancangan di pulau-pulau seluruh Sabah.

Katanya kerajaan juga sedang melaksanakan dua projek bekalan air iaitu di Pulau Banggi, Kudat dan Pulau Lihak Lihak di Semporna.

“Projek bekalan air di Pulau Banggi memperuntukkan sejumlah RM37.73 juta yang dijangka siap pada Mei tahun ini, manakala projek bekalan air di Pulau Lihak Lihak pula dijangka siap pada Julai tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM31.79 juta,” katanya.