Kota Kinabalu Dilanda Jerebu, Catat Bacaan IPU Tidak Sihat

596

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kebakaran hutan dan belukar yang berlaku sejak malam Jumaat lalu sekitar pusat bandaraya ini menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kota Kinabalu direkodkan tidak sihat.

Setakat jam 4 petang Sabtu, bacaan IPU di Kota Kinabalu adalah pada 145 diikuti dengan Kimanis dengan IPU 120.

Situasi itu menyebabkan ruang udara sekitar kawasan Kota Kinabalu kelihatan berjerebu.

Bacaan IPU di daerah-daerah lain di Sabah masih dalam keadaan normal iaitu antara 39 hingga 100.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan menerima 27 panggilan berkaitan kebakaran hutan dan belukar sekitar Sabah.

Daripada jumlah itu, Kota Kinabalu merekodkan panggilan tertinggi dengan 12 panggilan.

Pengarah JBPM Kamarulzaman Malik Abdullah memaklumkan pada Februari, sebanyak 494 kes kebakaran dilaporkan berlaku di Sabah, ia menunjukkan peningkatan 304 kes berbanding hanya 190 kes pada Januari.

Dalam tempoh dua minggu pada Mac ini sahaja, bilangan kes kebakaran yang berlaku semakin bertambah berikutan musim cuaca kering pada ketika ini.

Menurutnya, pihaknya sudah bersiap siaga dalam menjalankan operasi pemadaman kebakaran dengan memastikan jentera dan peralatan yang diperlukan tersedia.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah memaklumkan telah mengeluarkan 42 amaran bertulis, tiga notis arahan, sembilan kompaun dan membuka tiga kertas siasatan berhubung kebakaran terbuka yang sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.

Oleh itu, orang ramai diingatkan tidak mengambil kesempatan melakukan pembakaran terbuka bagi pembersihan kawasan tanah jika tidak ingin dikenakan tindakan undang-undang.