‘Kita Tidak Pernah Belajar Dari Kejadian Banjir Yang Berlaku’ – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal melahirkan kekecewaan atas kegagalan kerajaan hari ini menangani masalah banjir yang berlaku.

Beliau berkata, bencana banjir sudah berlaku berpuluh tahun lamanya tapi, malangnya kerajaan demi kerajaan tidak belajar daripada kejadian yang berlaku, tidak belajar cara menanganinya.

Katanya, kejadian banjir bukan hanya memusnahkan harta benda tetapi juga menjejaskan kehidupan manusia.

Sebelum ini, semasa berlaku banjir di Penampang, anggota tentera tidak dikerahkan bagi membantu mangsa terjejas banjir.

Beliau berkata, setakat koordinasi sahaja yang mantap tiada makna jika sumber yang ada tidak digerakkan di kawasan yang memerlukan.

Maka, beliau mempersoalkan sekiranya kerajaan boleh menggariskan bila masa sesuai untuk mobilisasi anggota bagi membantu mangsa banjir.

Beliau meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air menjelaskan tentang pendekatan komprehensif dalam menangani masalah banjir.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau memandang dari sudut positif dengan apa yang dicadangkan semasa bencana banjir berlaku.

Namun, dari sudut mobilisasi anggota tentera, ia berada di bawah bidang kuasa kementerian lain.

Walau bagaimanapun, semasa banjir berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini, anggota tentera turut dikerahkan bagi membantu mangsa terjejas banjir.