Kit Siang Yakin Pengundi Parlimen Sandakan Mampu Kekalkan Kerusi DAP

443
Lim Kit Siang, kiri, di Pasar Umum Sandakan.

SANDAKAN: Penasihat DAP Lim Kit Siang yakin pengundi di parlimen Sandakan akan membuat pilihan terbaik untuk mengekalkan kerusi DAP menerusi calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Lim berkata kemenangan Wong dalam PRK itu amat penting apatah lagi dalam usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pindaan itu tidak berjaya apabila gagal mendapat undian dua pertiga majoriti atau 148 undi tetapi hanya mendapat 138 undi sahaja. Jika Wong dipilih sebagai ahli Parlimen, undi akan menjadi 139 dan harap akan mendapat sembilan undi lagi,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum DAP di Kampung Mangkalinau, di sini Rabu malam.

VIVIAN WONG

Hadir sama, Wong, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong dan wakil daripada parti Warisan.

Lim yang juga anggota Parlimen Iskandar Puteri berkata kerajaan di bawah Pakatan Harapan berusaha menjadikan Sandakan sebagai Sandakan Baharu bagi menghidupkan ekonomi masyarakat daerah itu melalui usaha pembangunan yang dijalankan seperti menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan.

Beliau berkata usaha menarik lebih ramai pelancong ke Sandakan memerlukan lapangan terbang bertaraf antarabangsa selain kemudahan lain.

Ceramah DAP di perkarangan Giant, IJM pada Rabu malam.

Sementara itu, Chong berkata usaha untuk membaiki jambatan di Kampung Mangkalinau juga akan dibuat dalam tempoh terdekat ini selain membuat penyambungan bekalan elektrik bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata kawasan itu merupakan antara kawasan yang sering berlaku penyambungan haram sehingga menyebabkan masalah kepada kilang berhampiran.

Sementara itu, Ketua Kampung Mangkalinau, Mohamad Idris, 51, berharap kampung yang wujud sejak 30 tahun lalu itu akan diwartakan sebagai kampung yang sah bagi memudahkan mendapat kemudahan asas lain.