Kira-Kira 3,000 Babi Di Pitas Akan Dimusnahkan Bendung Penularan Demam Babi Afrika

JEFFREY KITINGAN

Oleh SURAIDAH ROSLAN
LAHAD DATU: Kira-kira 3,000 ekor babi ternakan dan babi hutan di Pitas akan dimusnahkan bagi membendung penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Dalam fasa pertama ini, sebanyak 22 ekor babi susah dimusnahkan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, dianggarkan 2,000 ekor babi ternakan dan kira-kira 1,000 ekor babi hutan liar yang berada di kawasan sekitar 50km dari Pitas.

Beliau berkata, babi hutan dan babi liar akan turut dimusnahkan jika perlu bagi memastikan wabak ini tidak menular ke daerah lain.

“Dalam masa sama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) sudah mengadakan kempen bagi meningkatkan kesedaran mengenai wabak ASF di 25 perkampungan di Pitas.

“Secara keseluruhan kempen itu akan dilakukan di 182 buah kampung. Dalam masa sama, JPVS juga sudah mengadakan kempen yang sama menerusi laman media sosial lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey berkata, kementeriannya akan meningkatkan pemantauan di luar Pitas dan setakat ini menerusi JPVS, mereka sudah mengambil 120 sampel dari pelbagai daerah di Sabah untuk mengesan jika ada virus ASF.

Beliau berkata, sampel juga diambil daripada pusat penyembelihan babi, pusat jualan daging babi komersial dan gerai yang menjual babi panggang (sinalau bakas) di seluruh Sabah.

Mengenai wabak ASF yang berlaku diluar Pitas, daerah yang terjejas akan diisytiharkan kawasan wabak ASF selaras dengan Enakmen Haiwan 2015 yang memberi kuasa penuh kepada JPVS untuk melaksana mekanisma pengurusan penyakit melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Fokus ketika ini addalah untuk membendung virus ini daripada merebak keluar dari Pitas. Bagaimanapun, jika ia merebak, kita akan cuba melindungi kawasan penternakan babi utama bagi memastikan pengeluaran daging babi di negeri ini tidak terjejas,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pengusaha daging babi komersial untuk meningkatkan pengurusan biosekuriti di ladang ternakan masing-masing dan maklumkan kepada JPVS jika berlaku sebarang kematian untuk tujuan penyiasatan.

Mengenai, kematian babi hutan di sebuah resort di Kinabatangan, JPVS dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) sudah menubuhkan pasukan bagi mengambil sampel dan menyiasat punca kematian babi tersebut.

Jeffrey berkata, keputusan ujian sampel itu dijangka diketahui pada Selasa ini.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa belum ada sebarang ubat atau vaksin bagi ASF. Namun, virus ini bukan penyakit zoonosis bermakna ia tidak akan merebak kepada manusia,” jelasnya.