Kira-kira 200 Orang Sertai Upacara Sembahyang di Kuil Sri Pasupathinath Alayam

KOTA KINABALU: Walaupun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, penganut agama Hindu masih datang secara bergilir-gilir untuk menghadiri upacara sembahyang di Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Bukit Padang hari ini.

Presiden Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Datuk Dr K Mathavan berkata, upacara diadakan secara bergilir-gilir bagi memastkan SOP ditetapkan dipatuhi semasa sambutan Hari Deepavali ini.

DR K MATHAVAN

Setakat 9 pagi tadi, seramai 200 orang penganut hindu datang untuk bersembahyang setakat 9 pagi tadi dengan pematuhan SOP yang ketat.

Walau bagaimanapun, tiada acara rumah terbuka diadakan di kuil pada tahun ini maka, pihaknya menyediakan kuih muih dalam bungkusan untuk diagihkan kepada orang ramai yang mengikuti upacara sembahyang.

Di samping itu, pihak kuil turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 50 penerima daripada suku kaum lain. Sumbangan bakul makanan itu diberikan oleh kerajaan kepada beberapa kuil di seluruh Sabah.

“Kami berpendapatan kebanyakan masyarakat India di sekitar bandaraya ini terdiri daripada golongan berkemampuan. Untuk itu, kami telah mengenal pasti beberapa penerima dalam kalangan golongan B40 sekitar bandaraya ini untuk menerima bantuan tersebut,” katanya.

Mengenai keunikan sambutan Hari Deepavali di Sabah, Mathavan berkata, setiap kali Deepavali, masyarakat pelbagai kaum akan berkunjung ke situ itu tanpa mengira kaum dan agama dan ia menunjukkan keharmonian masyarakat di Sabah.

Namun pada tahun ini, tiada sambutan diadakan maka, hanya penganut agama hindu sahaja yang ramai datang untuk menyertai upacara sembahyang.

STEALLA

Bagi Stealla Ku, 38, sejak menjadi penganut hindu dua tahun lalu, beliau amat menantikan sambutan Deepavali kerana ini peluang untuk komuniti India serta kaum lain berkumpul dan mengeratkan silaturahim.

“Biarpun sambutan kali ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan tiada acara rumah terbuka di kuil namun, penganut agama hindu masih berpeluang melakukan upacara sembahyang di kuil.

“Saya gembira kerana berpeluang sembahyang bersama dengan kaum India yang sudah seperti sebuah keluarga.

“Disebabkan saya sering menghantar anak ke sekolah yang berada bersebelahan dengan kuil ini, akhirnya saya memutuskan untuk singgah beberapa kali. Lama-kelamaan saya mula tertarik untuk mempelajari ajaran hindu dan ia tidak banyak beza dengan agama buddha yang saya amalkan sebelum ini.

“Dalam keluarga hanya saya seorang sahaja beragama hindu, suami dan anak-anak masih mengamalkan ajaran buddha. Namun, perkara itu tidak menjadi masalah kerana kedua-dua ajaran tidak banyak berbeza,” katanya.

Stella berkata, sebagai kaum Sino-Kadazan yang sama-sama meraihkan Deepavali, ini merupakan pengalaman yang baik untuknya berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan India yang lain.

Sementara itu, Doris Nesamalar,39, yang kebetulan sedang bercuti di Sabah berasa bertuah kerana dapat meraikan sambutan Deepavali pertama kali di luar Kuala Lumpur.

“Saya ingat tiada sambutan Deepavali di Kota Kinabalu tapi, apabila saya membuat carian daripada laman web, saya ternampak kuil ini dibuka bagi upacara sembahyang.

“Jadi, kami sekeluarga memutuskan untuk bersembahyang di sini. Pengalaman ini amat menarik kerana selama ini kami sekeluarga hanya meraikan Deepavali di Kuala Lumpur sahaja,” katanya.