Kinarut Perlu Dinaik Taraf Jadi Daerah Kecil

114
Adun Kinarut, Ghulam Haidar Khan bersama, Saddi A Rahman, kanan dan Limus Jury, kiri.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pembangunan pesat yang kini dialami di kawasan Kinarut memperlihatkan kelayakan kawasan itu untuk dinaik taraf sebagai daerah kecil dalam tempoh terdekat.

Datuk Ghulam Haidar (Bersatu-Kawang) berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri mengkaji potensi Pekan Kinarut untuk berikutan kriteria-kriteria asas sudah dipenuhi termasuk berada di pinggiran kota.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Belanjawan Sabah 2020 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, menerusi Program Pembangunan Pekan Baharu dalam Belanjawan Sabah 2020, beliau mahu Kerajaan Sabah mempertimbangkan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Kinarut secara serius agar membawa impak ekonomi yang cukup positif di Kinarut dalam jangka panjang.

“Sebagai kawasan pinggir bandar, kawasan Pekan Kinarut dalam DUN Kawang kini mengalami transformasi pembangunan yang begitu pesat.

“Banyak bangunan-bangunan baharu, pusat komersil, perumahan dan perindustrian tumbuh dan berkembang di sekitar kawasan ini sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Begitu juga daripada segi penduduk, bilangannya kian bertambah berikutan wujudnya kawasan perumahan baharu, termasuk projek perumahan PRIMA yang menempatkan ramai kakitangan kerajaan,” katanya.