Kinabatangan Dan Semporna Kini Bebas Covid-19

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Kinabatangan dan Semporna kini bebas daripada jangkitan Covid-19 apabila kes terakhir kedua-dua daerah tersebut dilaporkan telah pulih pada hari ini.

Kinabatangan merekodkan 23 kes sebelum ini dan satu kes terakhir telah pulih, manakala Semporna merekodkan sebanyak lima kes, termasuk dua kes terakhir yang telah pulih.

Menteri Kesihatanan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, jumlah keseluruhan kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 332 kes dan hanya tinggal 10 kes lagi yang masih aktif di Sabah.

Walau bagaimanapun, terdapat pertambahan satu kes Covid-19 baharu dilaporkan di negeri ini dan kes terbaharu itu dikesan di daerah Putatan.

Menurut statistik terbaru, daerah Tawau mencatat bilangan kes aktif tertinggi iaitu sebanyak empat kes, diikuti Kota Kinabalu dengan dua kes.

Manakala, Lahad Datu, Tuaran, Putatan dan Ranau masing-masing mempunyai satu kes akfif.

Jumlah korban akibat wabak Covid-19 di Sabah masih kekal sebanyak lima kes, di mana kematian terakhir dicatat di Kota Kinabalu pada 16 Mei.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan pertambahan kes baharu jangkitan Covid-19 sebanyak 38 kes dan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia adalah sebanyak 7,857 kes.

Kes baharu itu membabitkan 26 kes import mendapat jangkitan di luar negara, manakala 12 kes adalah kes penularan tempatan di mana enam kes adalah bukan warganegara Malaysia.

Terdapat 51 kes pulih dan dibenarkan discaj turut dilaporkan ini dan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya meningkat kepada 6,404 kes, atau 81.51 peratus kadar kesembuhan.

Sehingga kini, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan selama 10 hari berturut-turut, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 115.