Kilang Tayar Getah Asli Pertama Di Sabah Bakal Dibina Pada 2020

3941
Abdul Karim, dua dari kiri, bersama Simon Tu, tiga kanan, dari Syarikat Hoyu bertukar dokumen MoU yang ditandatangani, sambil disaksikan oleh Junz dan Madius. – Gambar BorneoToday

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perkembangan industri getah di Sabah dijangka bertambah baik apabila pembinaan kilang tayar Sabah yang pertama diwujudkan tidak lama lagi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, kerjasama antara Syarikat Hoyu Recycling & Retreading Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membangunkan kilang pembuatan tayar tempatan akan membantu mengukuhkan harga getah di negeri ini.

“Kerjasama ini satu berita baik kerana kerajaan sedang berusaha menaikkan harga getah. Apabila kilang ini mula beroperasi, harga getah dijangka boleh meningkat lebih dari RM2.80 sekilogram.

“Kenaikan harga getah itu akan memberi manfaat kepada pekebun kecil yang berdepan dengan masalah ketidaktentuan harga getah sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Syarikat Hoyu dan UMS, di sini pada Rabu.

Pembinaan kilang pembuatan tayar serta penggunaan produk berasaskan getah bagi beberapa industri di Sabah antara perkara yang dijanjikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri PanglimaWilfred Madius Tangau berkata, kerjasama selama lima tahun antara kedua-dua pihak itu pastinya akan memberi manfaat kepada perkembangan industri getah di Sabah.

Pada peringkat awal, syarikat ini akan membuat tayar di China terlebih dahulu sebelum membuka kilang pembuatan tayar di Taman Perindustrian Kota Kinablu (KKIP).

Kilang pembuatan tayar itu mungkin boleh dibina pada 2020 setelah semua proses berjalan lancar.

Sekiranya kilang itu mula beroperasi, setiap bulan ia akan memerlukan bekalan getah sehingga 10,000 tan dan ini pastinya memberi khabar gembira terhadap pekebun kecil.

Katanya, usaha syarikat itu menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) lebih awal sebelum membuka kilang adalah langkah yang bijak kerana penambahbaikan boleh dilakukan dari masa ke semasa sepanjang lima tahun kerjasama itu dimeterai.

Manakala, Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS Abdul Karim Mirasa berkata, pihak UMS sudah memulakan tujuh penyelidikan berkaitan dengan pembuatan tayar.

Pihaknya juga melihat kepada usaha untuk mengitar semula serbuk getah agar ia dapat digunakan untuk membuat jalan raya.