Kilang Minyak Masak Jenama Tempatan Bakal Dibina, Shafie Apdal

447

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Sabah bakal mengeluarkan jenama minyak masak sendiri apabila pembinaan kilang minyak masak yang akan dibina di lima kawasan yang dikenalpasti siap sepenuhnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, setelah lima buah kilang yang setiap satunya bernilai RM5juta itu siap dibina, ia akan membolehkan Sabah mempunyai produk minyak masak sendiri.

“Pembinaan kilang minyak masak ini dijangka bermula pada tahun ini dan kita akan mempunyai lima kilang.

“Jenama minyak masak akan diumumkan kemudian namun, kita memberi jaminan harga minyak masak ini berpatutan.

“Kita akan memulakan pembinaan kilang-kilang ini pada tahun ini antaranya di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perancangan membina kilang pembuatan minyak masak di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, jika permintaan produk itu meningkat, pembinaan kilang minyak masak itu akan ditambah mengikut keperluan pasaran.

Pembinaan kilang sebegini akan turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarkat setempat.

Ditanya mengenai pembinaan kilang perabot di Kota Marudu, Mohd Shafie berkata, memandangkan sudah ada kilang papan yang dibangunkan di situ, ia akan diperluaskan kepada kilang pembuatan perabot.

“Mereka akan memperluaskan perniagaan mereka dan saya memberi galakan dengan memberikan lesen untuk mereka membina kilang perabot di Kota Marudu sebegaimana mereka perlukan. Syarikat ini sudah mempunyai pasaran di China.

“Walaupun ada kilang di Kota Marudu, Pusat Pembuatan Perabot masih lagi berpusat di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan,” jelasnya.

Lokasi kilang perabot ini sudah dikenalpasti dan pembinaannya dijangka bermula tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata, usaha membangunkan Sabah akan diteruskan seperti yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Beliau yakin Kerajaan Sabah baharu mampu mentadbir Sabah dengan baik.

“Kita akan memastikan Sabah dapat dibangunkan kerana rakyat memberi harapan tinggi kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan masyarakat berbilang kaum di negeri ini supaya menghormati perbezaan budaya dan agama yang ada agar penyatuan dan perpaduan kaum dapat dicapai.

Katanya, rakyat berbilang kaum harus melahirkan semangat kekitaan dan penyatuan kaum agar usaha membangunkan Sabah dapat diteruskan.