Kilang Ikan Di Tawau Diarah Tutup; 8 Premis Proses Makanan Diberi Notis

2107
Anggota penguatkuasa Pejabat Kesihatan Tawau memeriksa sebuah kilang membuat roti dalam Ops Khas Kilang Makanan 2017 di Tawau. – Gambar ihsan Pejabat Kesihatan Tawau

TAWAU: Lapan premis memproses makanan diberi notis kehadiran ke mahkamah manakala sebuah kilang ikan di sini, diarah tutup serta-merta selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih serta melanggar peraturan penyediaan makanan.

Notis dan arahan kepada semua premis terbabit dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Dalam dalam operasi selama dua hari berakhir semalam.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran, berkata Ops Khas Kilang Makanan 2017 itu dijalankan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Tawau membabitkan 16 anggota penguat kuasa diketuai Pegawai Persekitaran Tawau, Rahman Sampe.

Anggota penguatkuasa menampal notis di sebuah premis makanan dalam Ops Khas Kilang Makanan 2017 di Tawau. – Gambar ihsan Pejabat Kesihatan Tawau

Katanya, operasi itu bertujuan memastikan kilang memproses makanan di daerah ini beroperasi dengan bersih dan selamat, selain mematuhi peraturan penyediaan makanan yang telah ditetapkan.

“Susulan operasi itu, lapan premis diberi notis kehadiran mahkamah, manakala sebuah kilang ikan yang didapati kotor diarah tutup 14 hari untuk pembersihan dan pembaikan.

“Keseluruhannya, 18 kilang diperiksa iaitu kilang roti, ikan, mi, sos dan lain-lain kilang memproses makanan sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Navindran berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada pematuhan Peraturan 9, Peraturan Makanan di mana semua kilang makanan hendaklah mengadakan program jaminan kualiti makanan.

Katanya, program itu adalah seperti Pengiktirafan Pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP). – Abdul Rahemang Taiming/BH Online

BERITA SELANJUT: –

http://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/07/306463/8-premis-proses-makanan-diberi-notis-kilang-ikan-diarah-tutup